Menaikkan kadar sebanyak 75 mata pada tahun 1994 dan 2022, apakah ada sebarang perbezaan?
Ketika kali terakhir Rizab Persekutuan AS menaikkan kadar faedah sebanyak 75 mata asas, AS sedang diperintah oleh seorang presiden Demokrat di tahun kedua kepresidenannya, dan pasaran saham baru sahaja menikmati dua tahun yang makmur dan sangat menguntungkan. Ia tidak jauh berbeza dari sekarang, kecuali pada tahun 1994, tiada kebimbangan yang semakin meningkat tentang kemelesetan, dan tiada inflasi yang menakutkan dan tidak terkawal.
Apakah langkah yang diambil oleh Fed pada tahun 1994?
Pada November 1994, Alan Greenspan, pengerusi Fed pada masa itu, mengumumkan kenaikan kadar selepas mengekalkan kadar tidak berubah sepanjang tahun 1993. Dari 3.25% pada bulan Januari 1994, kadar meningkat sepanjang tahun, malah melonjak 75 mata asas pada bulan November. Kenaikan itu adalah sebahagian daripada siri kenaikan kadar sebanyak tujuh kali dalam tempoh 13 bulan antara awal 1994 dan awal 1995 untuk mengelakkan ekonomi daripada menjadi terlalu panas.
Apakah perbezaan antara kenaikan 75 mata pada waktu sekarang dan dahulu?
Pada tahun 1994, langkah ini dilihat sebagai mengelirukan oleh pasaran, terutamanya bagi pihak Rumah Putih yang diterajui Clinton. Inflasi berada pada paras terendah dalam tempoh 20 tahun, iaitu 2.7%. Tetapi dengan saham-saham AS yang sedang berkembang pesat pada waktu itu, Fed telah dapat merasakan bahang kehangatan awal ekonomi dan bimbang inflasi akan meningkat. Oleh itu, Fed yang hawkish memilih untuk menaikkan kadar secara pre-emptive, sehingga pengkritik tindakan itu berkata ia mengekang ekonomi dari berkembang. Fed mungkin telah menyekat terjadinya ledakan ekonomi yang lebih besar, sebelum ia berlaku.
Pada tahun 2022, Jerome Powell, pengerusi Fed pada waktu ini, mendapati dirinya berada dalam situasi yang sangat berbeza. Dia cuba melawan api yang sudah marak di seluruh ekonomi AS. Inflasi telah mencapai 8.6%, paras tertinggi dalam tempoh 40 tahun. Kini terdapat kebimbangan bahawa harga akan mengambil masa yang lebih lama daripada yang dijangkakan untuk tenang, walaupun Fed menaikkan kadar secara agresif. Jangan lupa kejatuhan mendadak di pasaran saham AS, memasuki pasaran yang bearish selepas merosot lebih daripada 22% pada tahun itu. Kebimbangan terhadap kemelesetan ekonomi juga semakin meningkat.
Semua orang kini bimbang bahawa Fed akan menekan brek terlalu keras dan terlalu cepat untuk menjinakkan inflasi, tetapi ia akan merencat ekonomi. Powell mahukan pendaratan yang lembut untuk inflasi, seperti yang dilakukan oleh Greenspan pada tahun 1994. Tetapi nampaknya dia akan menempuh satu pendaratan yang sukar.
Bolehkah Fed mencapai pendaratan yang lembut seperti di tahun 1994 pada tahun 2022?
Pada tahun 1994, ahli ekonomi percaya bahawa pengetatan Greenspan mendorong AS ke arah pendaratan yang lembut (a soft landing), menenangkan pasaran dan inflasi sambil mengelakkan kemelesetan yang sering muncul akibat dari kenaikan kadar yang mengejut dan ekstrem. Hari ini, terdapat satu perbezaan yang ketara berbanding "soft landing" 1994-1995 yang sukses itu, yang sedang dihadapi oleh Fed.
Tidak seperti Fed pada tahun 1994, yang berada selangkah di hadapan inflasi, Fed sepatutnya sudah mula menaikkan kadar secara beransur-ansur sejak awal 2021 apabila tanda-tanda awal inflasi mulai muncul. Walau bagaimanapun, ia terus merangsang ekonomi dengan kadar faedah 0%, pembelian bon secara bulanan yang berterusan dan mengepam bertrilion dolar murah ke pasaran walhal mereka sepatutnya menarik balik langkah-langkah tersebut dan mula melakukan pengetatan sebelum nasi menjadi bubur.
Apa yang berlaku kepada saham-saham AS pada tahun 1994 dan 2022 selepas kenaikan 75 mata?
Pasaran kini bimbang pendekatan agresif Fed terhadap inflasi boleh menjerumuskan ekonomi ke kancah kemelesetan. Pada tahun 1994, kerugian saham adalah minimum pada tahun itu (turun hanya 1.2%), dan Fed berjaya mengelakkan kemelesetan dan menyejukkan inflasi. Dow Jones meningkat lebih daripada 33% pada tahun 1995. Pada tahun 2022, setakat ini saham sudah turun lebih daripada 22%. Dow Jones jatuh lebih rendah dari aras penting 30,000 selepas kadar dinaikkan sebanyak 75 mata minggu lepas. Itulah sebabnya kali ini, tidak seperti pada tahun 1994, penjualan mungkin strategi yang terbaik untuk US500, US100 dan US30.