Jenis-jenis pesanan: Buy/Sell, Limit, Stop, Stop Limit
Artikel ini akan memperkenalkan kepada anda jenis-jenis pesanan yang digunakan dalam perdagangan Forex. Ia satu panduan ringkas yang akan membantu anda mempelajari selok-belok pesanan yang berbeza sambil anda menerokai pasaran dengan FBS.
Apakah jenis-jenis pesanan yang ada?
Pesanan Pasaran (Market Order)
Melainkan ada dinyatakan sebaliknya, broker akan memproses pesanan anda sebagai pesanan pasaran. Pesanan pasaran tidak tertakluk pada apa-apa sekatan, jadi yakinlah bahawa pesanan ini akan dipenuhi.
Dalam Forex, pesanan pasaran dilaksanakan 24/5. Walau bagaimanapun, ingat bahawa anda mungkin menerima harga permulaan yang berbeza daripada apa yang anda lihat ketika membuat pesanan. Anda juga harus mempertimbangkan faktor-faktor yang mempengaruhi harga seperti berita atau peristiwa pasaran yang lain: ia boleh memberi kesan jika anda membuat pesanan anda sebelum atau selepas waktu perdagangan biasa.
Pesanan Tertangguh (Pending Order)
Pesanan tertangguh adalah pesanan kepada broker untuk membuka suatu urusniaga apabila syarat tertentu dipenuhi, contohnya, apabila harga suatu aset mencapai nilai tertentu.
Terdapat tiga jenis pesanan tertangguh: Buy Limit/Sell Limit, Buy Stop/Sell Stop, Buy Stop Limit / Sell Stop Limit, kesemuanya akan diterangkan lebih lanjut dalam bahagian-bahagian berikutnya.
Pesanan 'Limit' (Limit Order)
Seperti namanya, pesanan limit ialah sejenis pesanan yang anda gunakan untuk membeli atau menjual sesuatu aset pada harga limit - di atas atau di bawah daripada harga yang ditetapkan.
Jika anda seorang pelabur yang tahu harga yang anda inginkan, pilih pesanan limit. Pesanan limit membantu pelabur menguruskan risiko pasaran dan membeli aset tertentu pada harga yang betul dan bukannya untuk urusniaga kilat.
Dengan pesanan limit, anda tentukan harga untuk beli atau jual. Pesanan buy limit dilaksanakan pada atau kurang daripada harga limit, manakala pesanan sell limit dilaksanakan pada atau lebih daripada harga limit. Jadi, jika pesanan limit anda dipenuhi, anda dijamin mendapat harga limit anda atau harga yang lebih baik.
Sesetengah pesanan limit mempunyai tempoh sah sebelum mana urusniaga perlu dilaksanakan pada harga yang ditetapkan (atau harga yang lebih baik daripada itu). Pesanan ini biasanya mempunyai kos pelaksanaan yang lebih tinggi berbanding pesanan pasaran.
Contoh pesanan limit:
Carta menunjukkan contoh pesanan limit.
Pada harga terakhir kira-kira $134.80, jika harga aset menyusut ke $124.50, pesanan Buy Limit dengan harga limit $124.50 (garisan hijau) akan dilaksana. Jika aset tersebut jatuh ke $124.50 atau lebih rendah, pesanan limit akan tercetus dan dilaksanakan pada $124.50 atau lebih rendah. Jika aset kekal lebih daripada $124.50, tiada pesanan akan dilaksanakan.
Jika anda ingin menjual aset yang menaik sehingga $138, anda akan membuat Pesanan Sell Limit dengan harga limit $138 (garisan merah). Pesanan limit akan tercetus jika saham mencapai $138 atau lebih tinggi. Jika tidak, tiada pesanan akan dilaksanakan.
Pesanan 'Stop'
Pesanan stop membolehkan pedagang membeli atau menjual aset apabila harga mencapai harga yang ditetapkan (harga stop). Pesanan stop akan menjadi pesanan pasaran secara automatik apabila harga stop dicapai. Apabila ini berlaku, pesanan akan dilaksanakan pada harga pasaran semasa dengan segera.
Antara beberapa senario pesanan stop termasuk:
- Aset yang anda miliki sedang menaik, dan anda ingin melindungi sebahagian daripada keuntungan anda yang belum nyata sekiranya harga mula jatuh.
- Anda ingin menetapkan had untuk jumlah kerugian yang anda sedia tanggung untuk suatu posisi bagi saham yang anda beli baru-baru ini.
- Anda percaya bahawa jika saham menembusi aras tertentu, ia mungkin menandakan kenaikan yang berterusan, dan anda mahu peluang untuk membeli saham tersebut apabila ini berlaku.
Anda seringkali akan melihat sell stop dirujuk sebagai "stop loss" (renti rugi). Ini kerana ia sejenis pesanan yang boleh membantu melindungi pendapatan yang belum nyata atau mengurangkan kerugian. Lazimnya, anda akan memasukkan pesanan sell stop pada harga stop di bawah harga pasaran semasa. Jika saham jatuh ke harga yang ditetapkan (atau didagangkan di bawah aras itu), pesanan sell stop akan terpicu dan menjadi pesanan pasaran yang dilaksanakan pada harga pasaran semasa.
Apabila anda membeli dengan pesanan stop, anda meletakkan pesanan buy stop pada harga stop yang lebih tinggi daripada harga pasaran semasa, dengan hasrat untuk tidak terlepas saham tersebut apabila harganya meningkat.
Contoh pesanan stop:
Anda memiliki saham bernilai $100 dan ingin melindungi diri daripada penurunan nilai. Anda boleh menetapkan had boleh terima minimum untuk menjual saham tersebut. Sebagai contoh, anda boleh meletakkan pesanan sell stop pada $85. Jika suatu pelaksanaan berlaku pada $85 atau lebih rendah, pesanan stop anda akan terpicu, dan satu pesanan pasaran akan dibuat untuk menjualnya pada harga pasaran yang tersedia sebaik selepas itu.
Jenis-jenis pesanan limit
Ada dua jenis pesanan limit, dan perbezaannya terletak pada kegunaannya:
- Buy limit ialah pesanan untuk membeli aset pada atau kurang daripada harga yang ditetapkan. Seperti semua jenis pesanan limit, anda mesti membuat pesanan buy limit pada sisi yang betul (di bawah harga semasa) untuk mendapatkan harga yang lebih baik.
- Pesanan sell limit ialah pesanan untuk membeli aset pada atau di atas harga yang ditetapkan. Pesanan mesti dibuat pada atau lebih tinggi daripada harga pasaran semasa untuk hasil yang terbaik.
Jenis-jenis pesanan stop
- Buy stop ialah pesanan untuk membeli aset pada harga yang lebih tinggi daripada harga bid pasaran semasa. Pesanan buy stop menjadi aktif hanya apabila aras harga yang ditetapkan dicapai. Apabila ini berlaku, pesanan tersebut menjadi pesanan pasaran atau pesanan limit.
- Sell stop ialah pesanan untuk menjual aset pada harga di bawah harga ask pasaran semasa. Seperti pesanan buy stop, pesanan sell top hanya dilaksanakan apabila aras harga yang ditetapkan dicapai.
- Buy stop limit ialah pesanan stop untuk membuat pesanan Buy Limit. Apabila harga ask pada masa hadapan mencapai aras stop, pesanan Buy Limit akan dibuat pada tahap yang telah ditetapkan dalam medan harga Stop Limit. Aras stop ditetapkan lebih tinggi daripada harga ask semasa, manakala harga stop limit ditetapkan lebih rendah daripada aras stop.
- Sell stop limit ialah pesanan stop untuk membuat pesanan Sell Limit. Pesanan Sell Limit diletakkan pada tahap yang ditetapkan dalam medan Stop Limit Price apabila harga bid masa depan mencapai aras stop yang ditetapkan dalam pesanan itu. Aras stop ditetapkan di bawah harga Bid semasa, manakala harga Stop Limit ditetapkan di atas aras stop.
Kesimpulan
Menguasai jenis pesanan yang berbeza adalah salah satu daripada pelbagai faktor yang mampu mempengaruhi perdagangan anda. Terokai dan lakukan kajian pasaran untuk membina keyakinan dan menjadi pedagang yang lebih mahir. Periksa jika broker anda menyediakan bahan-bahan pendidikan dalam talian. Sebagai contoh, FBS menawarkan latihan percuma untuk pedagang daripada semua tahap pengalaman. Anda boleh mencuba kursus latihan dengan aplikasi Trading Broker FBS, tonton tutorial video di saluran YouTube FBS atau baca artikel di blog FBS. Pilih kaedah yang paling sesuai untuk anda dan mula belajar.
SOALAN LAZIM
Apakah maksud pesanan dalam perdagangan, dan bagaimana ia berfungsi?
Pesanan ialah set arahan daripada pedagang kepada broker untuk membeli atau menjual aset tertentu. Bergantung pada strategi pedagang, sesetengah jenis pesanan mempengaruhi berapa banyak pedagang membeli atau menjual sesuatu aset dan bila mereka melakukannya.
Apakah itu pesanan pasaran, dan bagaimana untuk menggunakannya?
Pesanan pasaran ialah arahan untuk beli/jual sesuatu aset dengan segera pada harga pasaran semasa. Dengan pesanan pasaran, anda dijamin urusniaga anda pasti akan dilaksanakan. Walau bagaimanapun, pesanan seperti itu tidak menjamin harga pelaksanaan, kerana ia biasanya dilaksanakan pada atau berhampiran harga bid semasa (untuk pesanan sell) atau harga ask (untuk pesanan buy). Melainkan anda menetapkan sebaliknya, broker anda akan menandakan semua pesanan perdagangan anda sebagai pesanan pasaran.
Apakah itu pesanan limit, dan bagaimana ia berfungsi?
Pesanan limit, juga dikenali sebagai pesanan tertangguh ialah sejenis pesanan yang anda gunakan untuk membeli atau menjual aset pada harga yang ditetapkan. Untuk membeli sesuatu aset, anda harus menggunakan pesanan buy limit untuk dipenuhi pada atau di bawah harga limit. Untuk menjual aset, anda harus menetapkan pesanan sell limit pada harga limit atau lebih tinggi.
Apakah jenis-jenis pesanan yang berbeza?
Terdapat tiga jenis pesanan utama: pesanan pasaran, pesanan limit dan pesanan stop. Namun begitu, pesanan limit dan stop boleh dibahagikan kepada beberapa sub-jenis: buy limit, sell limit, sell stop, buy stop, stop limit, dan trailing stop loss.
Bagaimana cara menetapkan pesanan Stop Loss (Renti Rugi)?
Pesanan Renti Rugi ialah pesanan beli/jual yang digunakan untuk mengehadkan kerugian apabila terdapat keraguan bahawa harga mungkin bergerak bertentangan aspirasi urusniaga. Untuk menetapkan pesanan Renti Rugi, pedagang mesti memilih harga limit terendah pada mana mereka akan menjual saham tersebut sekiranya ia mencapai had itu dalam pergerakan ke arah bawah.