Bagaimana Cara Mencipta Dan Menjual NFT
Pada tahun 2021, NFT mencetuskan minat yang besar di seluruh dunia maya. Tidak menghairankan: orang ramai bersedia untuk membayar wang dalam jumlah yang besar untuk NFT, yang kosnya boleh mencecah sehingga jutaan dolar. Sejak dari itu, dan terutamanya pada tahun 2022, pasaran NFT global telah berkembang pada kadar yang hebat. Oleh itu, jika anda sedang memikirkan bagaimana caranya untuk membuat NFT dan mendalami topik yang hangat ini, artikel ini untuk anda.
Apakah itu NFT?
NFT bermaksud token yang tidak sepiawai (non-fungible token). Tidak sepiawai bermaksud unik, kerana NFT tidak boleh direplikasi atau diubah, dan itulah sebabnya mengapa ia mempunyai nilai. Dengan kata mudah, NFT ialah satu perwakilan unik aset digital yang disimpan di blokchain. Apa yang dibeli orang bukanlah sekadar fail digital kerana ia boleh disalin berkali-kali, tetapi pemilikan fail tersebut.
Memandangkan NFT berkait rapat dengan teknologi blockchain, ia dibeli dan dijual menggunakan matawang kripto. Jadi perlu diingat: jika anda mencipta NFT dan berjaya menjualnya, anda akan mendapat bayaran dalam kripto.
Bolehkah sesiapa sahaja membuat NFT? Secara asasnya, ya, kerana anda tidak perlu menjadi seorang da Vinci untuk mencipta sesuatu yang akan menarik perhatian orang. Kreativiti tiada sempadannya. Zaman moden menjadikan NFT menarik, walau apa pun ia. Sudah tercatat di dalam sejarah waima selfie pun mampu menjadi NFT yang berjaya. Bolehkah anda bayangkan menjual selfie dengan harga beribu-ribu dolar? Namun, ia telah terjadi.
Sekarang mari kita lihat bagaimana cara menjana NFT. Ia lebih mudah daripada yang difikirkan.
Bagaimana cara mencipta NFT?
1. Pilih item anda
Perkara pertama yang perlu anda lakukan ialah memilih karya seni yang ingin anda ubah menjadi NFT. Apakah itemnya? Ia boleh terdiri dari apa sahaja, daripada lukisan, foto, dan koleksi yang jarang ditemui sehinggalah kepada meme dan ciapan. Sila maklum bahawa ia mestilah item yang unik dan anda haruslah satu-satunya pemiliknya. Kelangkaan adalah faktor yang memberi nilai kepada NFT anda.
Semasa anda memikirkan item yang terbaik untuk dijual, anda boleh meninjau pasaran NFT untuk item-item popular, yang meletup-meletup dan menjadi buah mulut. Ia mungkin memberi anda sedikit idea dan memudahkan anda memilih.
Memandangkan NFT memerlukan sedikit pelaburan awal, fikir dengan teliti sebelum anda membuat pilihan. Malangnya, mustahil untuk kita meramalkan dengan pasti sejauh mana kejayaan NFT di masa hadapan. Tetapi cuba pilih sesuatu yang penonton mungkin suka.
2. Pilih satu blockchain
Sebaik sahaja anda telah memilih item, yang sesuai untuk dijadikan NFT, sudah tiba masanya untuk meneroka blokchain. Di situlah tempatnya di mana NFT anda akan disimpan, jadi luangkan masa anda untuk menyemak semua pilihan yang ada.
Proses membuat NFT dipanggil menempa (minting). Dan ia bermula dengan memilih teknologi blockchain yang anda mahu gunakan untuk item anda.
Buat masa ini, pilihan yang paling popular di kalangan pencipta NFT ialah Ethereum. Ini adalah blockchain pertama yang menyokong NFT, dan ia masih menjuarai ranking sebagai blockchain yang paling banyak digunakan. Walau bagaimanapun, anda boleh pilih mana-mana blockchain.
3. Sediakan dompet kripto anda
Kami telah pun sebutkan bahawa NFT memerlukan sedikit pelaburan awal. Biasanya, itu ialah untuk yuran transaksi dompet, yuran penempaan (minting fee), dan yuran penyenaraian pasaran. Untuk membayar semua ini, anda memerlukan matawang kripto.
Jumlah pelaburan awal berbeza-beza, tetapi walau apa pun, anda perlu terlebih dahulu mendapatkan matawang kripto dan menyimpannya di suatu tempat. Dompet digital adalah cara yang terbaik untuk melakukannya.
Jadi jika anda belum mempunyai dompet kripto, sudah tiba masanya untuk menyediakannya. Jika anda masih baru dengan teknologi ini, anda boleh tinjau panduan FBS untuk dompet kripto.
Semuanya bermula dengan platform yang anda perlu pilih. Terdapat banyak pilihan untuk dompet dalam talian, jadi tidak sukar untuk mencari satu yang sesuai untuk anda. Sebaik setelah anda adakan dompet dan mempersiapkannya, jangan lupa untuk mengambil semua langkah keselamatan untuk berjaga-jaga. Sebagai contoh, anda perlu menyimpan kunci peribadi (private key) anda, yang memberi anda akses kepada dompet anda, di tempat yang selamat.
4. Pilih satu pasaran NFT yang sesuai dengan anda
Soalan anda yang seterusnya mungkin: di mana tempatnya untuk membuat seni NFT? Kita sudah semakin hampir dengan matlamat tersebut. Pada peringkat ini, anda perlu memilih pasaran NFT yang memberikan potensi yang baik untuk menjual NFT anda.
Sebelum anda memasuki pasaran NFT, anda perlu melihat dengan teliti terma dan syarat perkhidmatan. Ia akan membantu anda mentaksir kos untuk mencipta NFT dan mengetahui lebih lanjut tentang proses penempaan. Selain itu, terma dan syaratnya mungkin berbeza-beza. Sebagai contoh, sesetengah pasaran memerlukan penggunaan matawang kripto mereka. Jadi pastikan anda membiasakan diri dengan semua isu yang boleh timbul di kemudian hari. Lebih baik berjaga-jaga daripada menyesal.
Selain itu, pasaran tersebut harus bagus untuk NFT yang bakal anda miliki. Jika item anda terkait dengan topik tertentu (seperti sukan, permainan video, kripto, dsb.), anda boleh mencari pasaran khusus yang mempromosikan kandungan dari jenis tersebut. Seperkara yang menarik ialah ciri-ciri berguna seperti khidmat pelanggan, "social feed", penyepaduan dengan dompet kripto, dan statistik.
Secara asasnya, ini akan membantu jika anda mencari tempat yang selesa: yang harganya berpatutan dan cukup popular untuk menarik khalayak yang luas.
5. Muat naik fail anda dan tempa NFT anda
Anda hampir selesai! Masanya telah tiba untuk menempa NFT anda atau, dengan kata lain, menukar fail digital anda menjadi NFT. Proses ini bergantung pada pasaran dan blockchain yang anda pilih sebelum ini. Jadi rujuk tutorial untuk panduan memuat naik fail anda. Sila maklum bahawa sesetengah pasaran mungkin menghadkan jenis-jenis fail yang disokong dan saiz fail anda.
Biasanya, itu tidak memakan banyak masa, dan apabila semakin ramai orang ingin mencipta NFT, tutorial biasanya cukup mesra pengguna, walaupun untuk orang baru. Sebaik setelah anda selesai menempa NFT anda, anda boleh cuba menjualnya.
Sesetengah pasaran memberikan pilihan untuk menyenaraikan NFT. Dalam kes ini, anda tidak perlu menempa dan menambah item anda ke blockchain, satu cara untuk mengurangkan kos, kerana penempaan memerlukan yuran transaksi. Walaupun pada hakikatnya item anda bukan NFT sebenar, anda boleh menempanya kemudian atau membenarkan pembeli menempanya selepas ia dibeli.
6. Mulakan proses penjualan
Pada peringkat ini, anda perlu memutuskan cara anda ingin membuat duit dari NFT anda. Biasanya, pilihan berikut tersedia (bergantung pada pasaran):
- Anda menetapkan harga dan kemudian menjualnya kepada orang yang sanggup membayar jumlah yang dinyatakan.
- Anda menganjurkan lelongan, yang mana tempoh masanya terhad. Anda memutuskan berapa lama anda mahu mengadakan lelongan, tetapi dalam kes ini, orang yang membuat bidaan terakhir sebelum lelongan ditutup dikira sebagai pemenangnya.
- Anda menganjurkan lelongan, yang mana masanya tidak terhad. Di sini semuanya terpulang kepada anda. Anda menamatkan lelongan pada bila-bila masa yang anda rasakan sesuai.
Jika anda memilih untuk menetapkan harga, fikirkan baik-baik untuk mendapatkan harga yang dapat membantu anda membayar semua kos. Perlu diingat bahawa yuran boleh berubah-ubah bergantung pada masa. Ia hampir sama dengan lelongan, cuma bezanya di sini, anda perlu menetapkan harga minimum. Pastikan ia menjadikan projek NFT anda berbaloi.
NFT sebagai pelaburan
Melibatkan diri dengan teknologi baharu mungkin memakan masa dan sukar. Walau bagaimanapun, ia akan menjadi lebih mudah dan mungkin lebih menguntungkan apabila anda sudah biasa dengannya. Pada masa ini NFT sangat popular - siapa tahu apa yang akan berlaku pada masa hadapan?
Sekarang anda sudah tahu cara untuk membuat NFT. Kami harap anda mendapati artikel ini berguna. Jika anda ingin mengetahui lebih lanjut tentang dunia digital, anda boleh menyemak artikel lain di laman web kami.
Berminat untuk dagangkan kripto?
Ceburi dunia matawang digital bersama broker FBS. Kami menawarkan perdagangan kripto dengan 100+ aset dan leverage. Beli dan jual Bitcoin, Ethereum, SHIB, Polkadot, Solana dan pelbagai koin lain; berdagang dan buat wang dengan instrumen digital.
Baca lebih lanjut
- 7 pilihan untuk membuat wang anda bekerja untuk anda
- Panik di pasaran! Bagaimana cara menukar ketakutan menjadi duit
- Bagaimanakah cara untuk menghasilkan $50,000 di dalam 5 hari. Kisah kejayaan Phongphat Wetchakarn
- Cara-cara Untuk Mempelbagaikan Pelaburan Dan Hidup Bahagia
- Bagaimana Cara Untuk Menjadi Pedagang Profesional?
- Bagaimana hendak bermula di Forex?
- Cara Untuk Survive Dan Untung Di Forex: Tip-tip Pengurusan Bajet