1. FBS broker  >
  2. Blog FBS >
  3. Cara Untuk Membesarkan Anak Yang Bijak Kewangan
2024-06-10 • Dikemaskini

Cara Untuk Membesarkan Anak Yang Bijak Kewangan

001-cover -90.jpg

- Mak! Adik mahu robot ini!

- Oops adik! Tak semudah itu.

Mungkin itulah yang paling sering didengarkan oleh kanak-kanak dari Generasi Z (lahir antara 1995-2015) ketika membesar. Mereka sudah hidup melewati dua era kemerosotan ekonomi dan menyaksikan bagaimana ibu bapa mereka terpaksa menanganinya dan mencari jalan yang kreatif untuk meneruskan hidup di waktu susah. Melihat secara optimistik, satu natijah yang positif dari insiden ini adalah bagaimana kanak-kanak ini mempunyai potensi celik kewangan yang tak dapat ditandingi oleh generasi-generasi sebelum mereka. Sekarang ini kita sudah pun mempunyai statistik yang mengatakan bahawa mereka berpotensi menjadi pekerja yang paling rajin, efisien dalam perbelanjaan dan juga menabung!

Bayangkan apa yang mereka mampu lakukan dengan potensi statistikal ini jika anda mula membantu mereka membiasakan diri dengan kewangan pada usia yang muda?! Tanggungjawab ini di bahu anda jadi kuatkan diri, belajar bersama-sama anak-anak, dan jadi suri tauladan terbaik untuk mereka. Kami sudah sediakan tips untuk setiap kumpulan usia serta undang-undang universal duit.

Pelan Pendidikan Berdasarkan Kumpulan Usia

Jangan rasa hilang arah! Di sini kami sediakan panduan langkah demi langkah, yang akan membantu anda mensesuaikan pendekatan dengan kumpulan umur bila mengajar hal-hal berkaitan wang kepada anak yang baru berjalan, anak yang bersekolah rendah, dan remaja.

002-90.jpg

Dari 3 hingga 4 tahun

Otak, kemahiran bercakap, kemahiran motor, dan kemahiran sosial berkembang dengan pantas. Ini adalah tempoh usia yang paling sesuai untuk mempelajari konsep-konsep yang baru tetapi asas. Mengapa tidak perkenalkan dengan kewangan? Anak kecil anda sudah pun mempunyai kehendak: snek yang lazat untuk dibawa dalam perjalanan jauh, permainan yang sedang trendy, atau beruang teddy untuk malam yang tenang. Anak saya yang berusia 4 tahun pernah meminta ketuhar sebenar khusus untuk beliau supaya dia dapat membuat kek hari ulangtahun. Besar cita-cita beliau, hebat!

Nah, sudah tiba masanya untuk anda jelaskan kepada kanak-kanak bagaimana mereka boleh mendapatkan perkhidmatan atau barangan dengan menggunakan wang. Namun ingat, jika anda bermula dengan lagak seperti otai kewangan dari Wall Street, anda akan gagal. Siap-siap untuk berseronok dan belajarlah dengan bermain. Mulakan dengan wang sebenar; biar anak anda sedar bagaimana rupa wang kertas dan duit syiling.

Dari 5 hingga 7 tahun

Anda masih lagi menjadi suri tauladan, dan anak-anak mencari anda untuk soalan-soalan berkaitan wang. Sekarang bila mereka tahu bagaimana rupa wang dan bagaimana falsafah -bayar-dan-dapat berfungsi, anda mungkin mahu jelaskan bagaimana anda mendapatkan wang anda, dan bagaimana mereka boleh mula mendapatkan duti syiling pertama mereka dan menabung untuk mendapatkan barang-barang yang berharga (di mata kanak-kanak).

Mainkan permainan watak (role games) di mana setiap pemain berolok-olok mempunyai pekerjaan masing-masing dan buat agar wang bertukar tangan untuk mendapatkan barang-barang yang ada di rumah. Usia ini terbaik untuk mula memberikan elaun pertama bagi melakukan kerja-kerja rumah. Sebagai contoh, tetapkan amaun tertentu yang anda akan bayar untuk mencuci pakaian, membersihkan rumah, memberi makan kepada kucing, menyiap snek yang mudah. Cuba untuk kreatif dalam menggalakkan anak-anak anda membuat keputusan pembelian kecil dan menyimpan untuk impian mereka.

003-90.jpg

Dari 8 hingga 10 tahun

Ini masanya untuk pelajaran pengurusan wang yang pertama. Taktik bermain masih lagi sangat efisien. Cuba "board games" seperti 'Monopoly' (atau Saidina). Ia akan mengajarkan anak-anak anda konsep seperti strategi, pelaburan, melihat gambaran yang lebih luas, pembelian impulsif, dan banyak lagi situasi berkaitan duit yang anda boleh pilih untuk dedahkan kepada mereka. Anda boleh buat belanjawan yang kecil bersama mereka untuk menunjukkan bahawa dana tabungan amat membantu dalam merancang matlamat jangka panjang.

Biarkan anak-anak anda guna kreativiti mereka dalam cara mereka membuat wang. Biar mereka reka pekerjaan yang memberikan bayaran kepada mereka. Kita tidak tahu bila jiwa usahawan atau saintis mula berputik dalam jasad seseorang insan! Dengan dana yang diraih, simpanan, dan elaun, anak-anak anda dapat merasai sedikit kemandirian. Bincangkan apa yang mereka mahu beli. Jika pembelian itu ternyata bukan sesuatu yang bijak, ajarkan mereka untuk terima kesilapan dan kegagalan.

Dari 11 hingga 13 tahun

Anda sedang berhadapan dengan "tweens" — makhluk manusia yang bukan lagi kanak-kanak, tetapi bukan juga remaja. Walaupun mereka mahu dianggap seperti orang dewasa, mereka tidak mempunyai kefahaman apakah tanggungjawab yang harus dipikul akibat dari keputusan mereka menguruskan duit. Bincangkan tentang membahagi-bahagikan antara keperluan dan kemahuan.

Rancang belanjawan bersama-sama, contohnya untuk pembelian pakaian. Buat senarai barang-barang keperluan yang diperlukan oleh kanak-kanak dan biarkan mereka beli sendiri set mereka. Anda harus tunjukkan betapa anda mempercayai "orang dewasa kenit" anda, dan mereka akan berasa amat berpuas hati dengan rupa baru mereka.

Pada usia ini, anda boleh mula menjelaskan apa yang berlaku bila seseorang itu kehabisan duit. Konsep meminjam, pinjaman, hutang, bunga faedah, haruslah biasa didengar oleh anak-anak anda.

Dari 14 hingga 16 tahun

Di saat ini, anda ada seorang remaja dalam erti kata yang sebenar-benarnya di dalam rumah anda. Fasa yang dimasuki oleh "bekas budak kecil" anda mencabar dari segi psikologi, fisiologi, dan tekanan rakan sebaya. Keputusan untuk membeli sesuatu kini dipengaruhi secara dramatis oleh rakan-rakan, selebriti, rancangan TV, atau lain-lain sumber yang sedang "trendy" di luar lingkungan keluarga anda.

Bercakaplah dengan anak remaja anda, dengari apa yang mereka mahu katakan dengan simpati. Jika anda tidak boleh hendak bersetuju dengan pembelian yang mahal, nyatakan poin-poin anda mengapa ia tidak boleh dilakukan oleh isi rumah anda buat masa tersebut. Jelaskan kepada mereka bahawa perkara-perkara yang boleh dibeli tidak mentakrifkan diri mereka, sebaliknya personaliti, hobi, dan impian mereka itulah yang membentuk siapa diri seseorang itu. Jika jiwanya masih meronta-ronta untuk berbelanja, dorong mereka untuk berkerja separuh masa. Mereka boleh bereksperimen dengan pelbagai macam kerja yang berbeza, rasai betapa sukarnya mencari wang dan menikmati rezeki yang diperolehi.

Fasa ini juga sesuai untuk membincangkan rancangan bagi pendidikan selepas zaman persekolahan, seperti kolej, universiti, atau apa sahaja opsyen yang ada di negara anda. Mula menyimpan untuk pencapaian akademik bersama-sama. Walaupun sumbangan dari anak anda tidak signifikan, ia akan membuatkan mereka lebih faham tentang nilai suatu masa depan yang berjaya.

Dari 17 hingga 18 tahun

Remaja-remaja ini sedang menuju ke kategori belia (young adults). Tekanan dari rakan sebaya mereka digantikan dengan stres dari institusi pendidikan yang kompetetif. Mereka sedang berada di persimpangan, perlu membuat keputusan penting bagi kehidupan mereka, dan anda sebagai ibu bapa harus sentiasa ada untuk mereka. Terus fokus kepada mereka dan jangan layan kehendak-kehendak mereka seolah-olah ia satu jenaka. Persekitaran yang seimbang, bukan sahaja di sekolah tetapi termasuk juga di pelbagai aspek kehidupan mereka, akan membantu mereka mengurangkan rasa gemuruh dan terbuka kepada hobi dan peluang baru. Jelaskan bahawa tidak ada mana-mana universiti tertentu yang harus menjadi pilihan mutlak, universiti yang elit bukan jaminan masa depan. Mereka boleh capai apa sahaja impikan dalam hidup ini dengan memilih jalan yang berbeza.

Sarankan kerja di musim panas. Ia boleh menjadikan anak anda lebih yakin diri, memastikan masa mereka sentiasa terisi, dan membuatkan mereka dibayar oleh orang lain selain dari ibu bapa.

Bincangkan tentang matlamat jangka panjang dan cara-cara mereka boleh menyimpan untuk tujuan itu. Ini masa yang sesuai untuk bercakap tentang opsyen-opsyen pelaburan juga. Rangsang anak anda untuk memasang impian yang besar dan cari cara untuk menghampiri sasaran mereka.

5 Tips Universal

Walaupun pendekatan untuk mengajar anak-anak apakah itu wang berbeza-beza mengikut peringkat umur, sesetengah konsep asas sebenarnya umum sekali. Pastikan ia jadi sebati dengan jiwa anak-anak anda!

Wang tidak tumbuh di dahan-dahan pokok

Walaupun mengasyikkan kalau kita boleh pergi dan petik $100 dari pokok duit ketika dalam perjalanan ke sekolah, realiti alam tidak seperti itu. Orang beroleh duit dengan cara berkerja dan kemudian boleh menukarkannya untuk mendapatkan perkhidmatan dan barangan.

Keperluan vs kehendak — bukan semua pembelian sama pentingnya

Kanak-kanak perlu belajar cara-cara menyusun keutamaan keperluan seperti makanan, tempat tinggal, kenderaan, dan perkara-perkara yang menjadikan hidup ini lebih nikmat (kemahuan) seperti melancong, pakaian, menonton filem di wayang, atau minum santai di warung.

Cuba hasilkan kolaj dari gambar-gambar barangan yang menjadi impian anak-anak anda dan tandakan mereka dengan P (ke-PERLU-an) atau M (ke-MAHU-an). Kemudian jelaskan bagaimana mereka perlu mencari keseimbangan dan cuba untuk mampu memperolehinya menerusi perancangan dan belanjawan yang mantap.

Belanjakan wang dengan bijaksana

Anak-anak harus bertanggungjawab untuk wang mereka sendiri dan belajar konsep "mengapa bayar lebih". Walaupun iklan di TV terus-menerus menyuntik konsep kononnya gajet yang mahal akan membuatkan mereka seorang yang popular di sekolah, realitinya tidak begitu. Ajarkan kanak-kanak untuk membandingkan barangan dan analisa iklan bersama mereka. Buka majalah dan ulas tentang perkara yang diiklankan. Bincangkan bagaimaan orang menjual barangan tersebut, apakah imej-imej yang digunakan, bagaimana mereka menarik perhatian, dan apakah perkataan yang dipilih untuk membuatkan anda fikir produk ini unik dan tiada tandingannya.

Fikir dengan bijaksana — menyimpan untuk masa depan.

Menyimpan tidak harus dikaitkan dengan rasa terbeban. Justeru, cuba kaitkan konsep ini dengan impian. Kita tidak harus menyimpan semata-mata hanya kerana mahu menyimpan, tetapi menyimpanlah kerana suatu matlamat.

Pendekatan kreatif dan fleksibel tentang mencari wang.

Pupuk kebolehan semulajadi untuk berfikir di luar kotak. Kemahiran ini akan membantu bukan sahaja dalam keputusan tentang membuat duit tetapi secara amnya untuk tidak terlalu serius dengan kehidupan. Anda boleh latih kreativiti dalam aktiviti-aktiviti seharian seperti membuat kraf dari benda-benda yang boleh ditemui di sekitar rumah dan menggubah semula ia menjadi suatu yang baru dan berfungsi.

Sebagai orang dewasa, anda juga boleh mengkaji lebih mendalam dan belajar petua-petua kewangan lain yang boleh membantu anda membuat belanjawan.

Genius Kewangan

Ibu bapa sekalian — teruskan! Anak-anak anda akan baik-baik sahaja — mereka akan mengembara, menguasai bahasa-bahasa lain, dan menyimpan wang di dalam "tabung buluh" mereka untuk anda. Terbukalah dengan anak-anak tentang duit: borak mengenainya, biasakan mereka dengannya di usia muda, benarkan anak-anak menyimpan impian, dan dorong mereka untuk buat keputusan kewangan secara bijak melalui tauladan. Pastikan wang sentiasa berlegar di minda tetapi tidak beraja di hati mereka!

Baca lebih lanjut

  • 5890

Notis pengumpulan data

FBS menyimpan rekod data anda untuk mengoperasikan laman web ini. Dengan menekan butang "Terima", anda menyetujui Polisi Privasi kami.

Callback

Pengurus akan menghubungi anda dalam amsa terdekat

Tukar nombor

Permohonan anda telah diterima

Pengurus akan menghubungi anda dalam amsa terdekat

Permohonan panggil balik seterusnya untuk nombor telefon ini
boleh dilakukan dalam dalam

Jika anda mempunyai isu yang perlu disegerakan, sila hubungi kami menerusi
Live Chat

Masalah dalaman. Sila cuba sebentar lagi

Jangan bazir masa anda – pantau bagaimana NFP mempengaruhi dolar AS dan kaut keuntungan!

Anda sedang menggunakan pelayar web yang versinya sudah lapuk.

Kemaskini kepada versi terkini atau cuba pelayar lain untuk penggunaan yang lebih selamat, selesa dan produktif.

Safari Chrome Firefox Opera