Apakah itu NFT?
Memahami NFT
Boleh dikatakan bahawa 2021 adalah tahun NFT, "anak" Ethereum yang eksentrik dan degil. Token tidak sepiawai (non-fungible tokens) melanda dunia matawang digital dan menjadi aset yang paling diperkatakan setakat ini. Sedar-sedar sahaja NFT sudah pun menjadi perhatian dunia, lantaran dari beberapa berita yang mengejutkan tentang bagaimana token tidak sepiawai boleh menghasilkan wang. Wang besar sebenar.
Daripada tweet bekas CEO Twitter Jack Dorcey yang bernilai $3 juta sehinggalah kepada swafoto biasa yang menjadikan Al Ghozali, pelajar dari Indonesia, seorang jutawan - "karya seni NFT" kini dianggap sebagai cara baharu untuk meraih keuntungan besar dalam dunia kripto. Tetapi apakah yang memungkinkan potensi seperti sedemikian? Bagaimanakah token tidak sepiawai menjadi begitu masyhur? Bagaimanakah NFT berfungsi? Dan, akhir sekali, adakah NFT mempunyai masa depan?
Temui jawapan kepada soalan-soalan ini dan banyak lagi di dalam perenggan-perenggan di bawah.
1. Apakah itu NFT?
Pada tahun 2021, ketika semua ini baru bermula, anda boleh menemui soalan mengenai "Apakah yang dimaksudkan dengan NFT?" kerap ditanyakan. Jawapan kepada soalan itu adalah kunci untuk memahami maksud NFT.
NFT adalah singkatan untuk token tidak sepiawai. Apakah maksudnya? Nah, untuk mencerna dan memahamkan konsep ini memerlukan sedikit masa, tetapi apabila anda sudah memahaminya, anda akan mendapati bahawa ia sebenarnya mudah dan ringkas sahaja.
Tidak sepiawai (non-fungible) bermakna token ini tidak boleh dikurup atau ditukar dengan token lain, atau dalam erti kata lain tidak ada yang boleh disetarakan dengannya. Lihat dolar atau malah mana-mana kripto 'tradisional' sebagai satu contoh. Satu dolar akan sentiasa menjadi satu dolar, dan satu bil dolar akan sentiasa sama dengan satu lagi wang dolar yang nilainya sama. Begitulah juga dengan kripto biasa: satu BTC sentiasa sama dengan BTC lain, dsb.
Bagaimanapun untuk NFT, kisahnya sama sekali berbeza. Setiap token tidak sepiawai mempunyai nilainya sendiri dan tidak boleh dikurup dengan yang lain. Anda tidak boleh menggabungkan atau mencipta satu lagi yang sama dengannya. Tetapi apa manfaatnya, dan mengapa seseorang memerlukan perkara yang sedemikian, mungkin anda tertanya-tanya. Dan di sinilah "seni NFT" memainkan peranannya.
2. Memperkenalkan Seni NFT
Seni NFT ialah sebarang item digital yang dibeli dan dijual menggunakan token tidak sepiawai. Ia mungkin imej, GIF, klip video, trek muzik atau swafoto. Contoh lain termasuk kulit watak permainan video, tangkapan skrin, dsb. Dengan NFT, anda boleh mengubah hampir semua perkara menjadi karya seni digital dan sumber pendapatan.
Dengan menukar item digital menjadi NFT, anda menjadikannya unik. NFT yang baru dicipta mempunyai tandatangan digital yang membezakannya daripada semua NFT lain di luar sana. Mulai dari saat ini, anda boleh menjual NFT anda menggunakan mana-mana pasaran NFT yang ada dan lihat sejauh mana ia akan pergi. Dan ia boleh membawa anda pergi agak jauh.
Masih ingat dengan Jack Dorcey, bekas CEO Twitter, dan Al Ghozali, pelajar Indonesia, yang disebutkan di atas tadi? Mereka telah menggunakan NFT untuk membuat wang. Dorcey menjual tweet pertamanya dengan harga $3 juta, dan koleksi 1000 swafoto Al Ghozali secara tidak dijangka memuncak pada paras $1 juta, menjadikannya jutawan pada usia 21 tahun.
Tetapi tunggu, adakah itu bermakna sesiapa sahaja boleh meraih jutaan dolar daripada NFT? Tidak juga, sebenarnya.
3. Bagaimana NFT berfungsi?
Apabila suatu kandungan digital menjadi NFT, ia menjadi suatu aset – sesuatu untuk dijual, sesuatu untuk dibeli dan sesuatu untuk dimiliki. Pasaran NFT dibanjiri dengan banyak token tidak sepiawai, setiap satu mewakili karya seni digital tertentu. Sesetengah barangan ini mendapat permintaan yang tinggi, dan oleh itu, harganya juga tinggi. Pada masa yang sama, kebanyakan NFT tidak mencapai kejayaan yang besar. Tetapi peluang itu tetap ada, dan itulah yang memikat pengguna untuk mencipta, membeli dan menjual token tidak sepiawai.
Helahnya di sini, sekeping seni NFT boleh menjadi popular secara tiba-tiba dan tidak semena-mena, menyebabkan peningkatan harga yang dramatik. Ini berita yang baik. Walau bagaimanapun, anda takkan dapat meramalkan peluang anda untuk menjadi kaya dengan NFT.
Sama ada anda menjual atau membeli NFT, anda tidak dapat meramalkan pergerakan pasaran NFT. Ia sangat tidak menentu, dan sebarang perkara yang kecil sekali pun boleh menjejaskan harga. Dalam hal ini, kejayaan mendadak Al Ghozali adalah contoh "survivorship bias" yang jelas.
Peluang untuk seorang pelajar Asia menjadi kaya raya hampir tidak wujud sama sekali. Namun, pada masa yang sama, kisah Jack Dorcey ialah kes yang boleh dijangkakan 100%. Dorcey seorang ahli perniagaan yang terkenal dan pengasas bersama Twitter. Jadi tidak hairanlah jika tweet pertama beliau yang dijual sebagai NFT laris manis.
Tetapi mengapa pula ada manusia yang mahu membeli sekeping seni NFT seperti tangkapan layar ciapan di media sosial, klip video, runut audio atau GIF? Nah, kita akan ulas topik itu nanti. Tetapi sebelum itu, mari kita lihat tiga isu yang akan anda hadapi bila anda menyelidik NFT.
4. Tiga Isu Tentang NFT
Dengan NFT, kita bercakap tentang pemilikan suatu karya seni digital atau sebarang kandungan digital lain dan penjualannya. Konsep ini mengundang tiga persoalan yang utama:
- Bagaimanakah seseorang boleh memiliki sesuatu yang tidak wujud secara fizikal?
- Bolehkah sekeping seni digital menjadi unik?
- Adakah NFT itu sia-sia?
4.1. Jika ia digital, ia tidak wujud.
Tidak ada suatu apa pun yang digital yang boleh dianggap sebagai nyata. Kandungan digital kekal nyata selagi mana pelayan hidup dan berfungsi. Tetapi sekiranya storan tersebut rosak – woosh, semuanya lenyap. Jadi jika kita bandingkan dengan pembelian karya seni yang boleh disentuh secara fizikal, seperti lukisan atau arca, pembelian karya seni NFT adalah satu kesilapan besar.
Tetapi sekali lagi, ini adalah satu nuansa yang sanggup diterima oleh ramai orang kerana kita kini hidup dalam era digital yang datang bersama dengan pelbagai kelebihan dan keburukan.
4.2. "Copy ori"
Bercakap tentang lukisan dan sebagainya. Anda tahu jika suatu karya seni fizikal adalah unik kerana ia mempunyai tandatangan penciptanya, atau ia disertakan dengan sijil perakuan keaslian, atau apa sahaja. Dan anda tahu bahawa walaupun terdapat sejumlah salinan yang dibuat - yang boleh sahaja terjadi dengan karya seni yang bernilai tinggi - semua salinan tiruan tersebut tidak dapat mencapai standard satu-satunya salinan asli yang ada, iaitu salinan tulen yang anda miliki.
Tetapi dengan seni digital atau apa-apa bentuk kandungan digital lain, hal ini lebih rumit. Sesiapa sahaja boleh membuat salinan baru bagi suatu item digital. Anda boleh membuat tangkapan skrin siaran bernilai juta dolar terkenal atau adegan dalam permainan video; anda boleh memuat turun imej, trek audio, klip video, GIF atau apa sahaja yang anda mahu dan membuat beberapa salinan. Dan walaupun masih ada yang berstatus pemilik rasmi token yang dimuat turun dan token itu sendiri akan mempunyai tandatangan digital yang unik, tiada apa yang boleh menghalang anda daripada menyalin dan mengedarkannya di internet. Begitulah keadaannya, sekurang-kurangnya buat masa ini.
Isu ini membawa kita kepada soalan yang terakhir.
4.3 Apakah matlamat di sebalik pengwujudan seni NFT?
Jadi kini kita ada beberapa fakta yang jelas:
- Anda tidak boleh memiliki token tidak sepiawai secara fizikal.
- NFT boleh disalin dengan mudah.
- Memiliki NFT tidak menjadikan anda satu-satunya orang yang menggunakannya.
- Seni NFT tampak seperti tidak munasabah, benarkah begitu?
Jika itu benar, maka dari mana datangnya kegilaan ini? Apakah yang membuatkan beribu-ribu malah berjuta-juta orang di seluruh dunia mencipta, menjual dan membeli seni NFT? Jawapannya mudah: ia adalah keinginan untuk menjadi kaya dengan cepat.
Ia bukan sesuatu yang baru. Sungguh! Orang ramai telah cuba mencari cara paling mudah untuk membuat wang selama berabad-abad. Pendapatan pasif melalui pelaburan boleh dikatakan pilihan yang paling utama untuk itu. Anda hanya perlu laburkan dana dalam apa sahaja yang anda fikir akan memberi anda pulangan yang terbaik dan berharap agar ia berkesan. Ia adalah pelaburan, dalam bentuk yang paling ringkas.
Orang ramai melabur dengan pelbagai cara: matawang, tenaga, logam, indeks, dsb. Era blockchain muncul bersama suatu bentuk aset yang baharu – kripto.
Ingatkah lagi betapa suatu ketika dahulu, Bitcoin hampir langsung tidak bernilai? Dan kemudian, setelah satu rantaian peristiwa, matawang kripto yang pertama tiba-tiba menjadi aset yang paling mahal di dunia.
Peminat NFT percaya bahawa sesuatu seperti itu mungkin akan turut terjadi ke atas token tidak sepiawai. Dengan betapa hebohnya dunia mengenai token tidak sepiawai pada masa ini, mungkin saja kata-kata mereka akan terbukti benar.
Pertimbangkan fenomena kripto secara keseluruhan dan perihal NFT pula sebagai satu gelembung atau hoax, atau lihat ia sebagai sesuatu yang tidak masuk akal – realitinya, di luar sana terdapat ramai orang yang akan memberitahu anda sebaliknya. Mereka percaya bahawa NFT adalah suatu perkara besar yang seterusnya dalam dunia matawang kripto.
Penyokong seni NFT menegaskan bahawa teknologi itu membuka lembaran baharu dalam isu hak cipta dan akan memberi impak yang positif kepada para seniman di seluruh dunia. Token tidak sepiawai, kata mereka, akan membolehkan pengkarya bebas meraih keuntungan daripada seni mereka tanpa perlu berurusan dengan pengantara yang tidak perlu seperti label, pengedar dan sebagainya.
Walau bagaimanapun, ada juga yang mengeluarkan pendapat yang bertentangan. Kritikan utama terhadap NFT sebagai satu cara baharu untuk seniman menjana wang ialah betapa sistem itu tidak dikawal selia, dan tiada cara untuk mengetahui dengan pasti sama ada seniman yang menjual NFT ialah seniman asal yang menciptanya. Malah pada masa ini, terdapat banyak contoh di mana karya seniman dijual sebagai seni NFT oleh orang lain tanpa mereka sedari. Satu lagi isu lain ialah betapa mewujudkan token tidak sepiawai itu bukanlah percuma dan mungkin memerlukan bayaran "duit minyak" (gas fees) dan yuran penyenaraian (list fees) yang besar, yang tidak mampu dibayar oleh ramai seniman DIY.
Namun begitu, komuniti NFT terus berkembang dan membentuk dunia kripto masa depan. Kesannya, ada banyak sekali pasaran NFT di internet yang mahu menjadi platform untuk anda mencipta, menjual dan membeli token tidak sepiawai.
5. Bagaimana Cara Untuk Menjadi Seniman NFT?
Sesiapa sahaja boleh menjadi seniman NFT. Apa yang anda perlu lakukan ialah mencipta atau menempa (kerana ini adalah istilah yang betul) seni NFT anda sendiri.
Secara ringkasnya, prosesnya agak mudah. Mula-mula, anda pilih apa yang anda mahu ubah menjadi seni NFT – GIF, tangkapan skrin, foto, video, trek audio, dsb. Kemudian, anda pergi ke pasaran NFT pilihan anda. Ada banyak pasaran seperti ini. OpenSea, Axie Marketplace, Rarible, SuperRare dan NiftyGateway adalah antara yang paling popular. Walau bagaimanapun, anda harus maklum bahawa suatu pasaran itu mungkin mengkhusus untuk NFT dari jenis yang tertentu sahaja. Contohnya seperti NBA Top Shot Marketplace, yang memfokuskan pada token berkaitan NBA secara eksklusif.
Sebaik sahaja anda log masuk, anda boleh teruskan dengan menempa seni NFT anda. Proses ini semudah menekan butang cipta, memuat naik fail dan membiarkan platform melakukan tugasnya. Apabila NFT anda sudah ditempa, anda boleh menyenaraikannya untuk dijual.
Walaupun platform yang berbeza mungkin menggunakan pendekatan yang berbeza untuk menempa token tidak sepiawai, secara amnya, kesemuanya lebih kurang sama sahaja. Tidak kira apa perbezaan proses pencetakan, satu perkara tetap sama untuk semua platform – anda perlu mempunyai akaun bursa kripto dan dompet kripto yang mesra ETH. Oleh kerana NFT ialah teknologi yang berasaskan Ethereum, anda perlu membuat transaksi ETH untuk menempa, menjual dan membeli token tidak sepiawai.
5.1 Bagaimana cara untuk membeli seni NFT?
Jika anda ingin membeli seni NFT, pastikan anda sudah bersedia iaitu sudah memiliki akaun kripto dan dompet kripto terlebih dahulu. Selepas itu, pergi ke pasaran pilihan anda dan teruskan dengan mengimbas katalog, mencari token yang ingin anda beli.
6. Mengapa Sesetengah Orang Mahu Membeli Seni NFT?
Setelah memperkatakan semua yang di atas, mengapa ada orang di dunia ini yang mahu membeli token tidak sepiawai? Ada dua sebab yang utama.
Yang pertama ialah jika anda seorang pelanggan tetap, anda ingin menyokong seniman kegemaran anda dengan membeli seni mereka sebagai NFT. Sebab kedua ialah anda mungkin seorang pengumpul, membeli NFT dan menyimpannya dengan harapan harganya akan meningkat supaya anda boleh menjualnya untuk mendapatkan keuntungan.
Dengan sebab yang pertama, ia mudah difahami: kalau sudah namanya peminat memang begitulah sikapnya, dan tiada siapa yang boleh menghalang mereka daripada menyokong artis kegemaran mereka. Walau bagaimanapun, sebab yang kedua memiliki nuansa yang penting dan harus dipertimbangkan.
Dengan NFT, hampir mustahil untuk meramalkan prestasi token. Token tidak sepiawai lebih meruap berbanding mana-mana kripto 'biasa'. Harga bergantung sepenuhnya pada populariti. Dan seperti yang anda boleh teka, tidak mungkin anda dapat meramalkan perubahan yang sedemikian. Senario terburuk, anda mungkin melabur pada token yang akhirnya menjadi tidak bernilai dan tiada siapa yang mahu membelinya daripada anda.
7. Kebaikan dan keburukan
Kami sudah hampir selesai menerangkan tentang token tidak sepiawai. Tetapi sebelum kita teruskan dan berspekulasi tentang sama ada token tidak sepiawai mempunyai masa depan atau tidak, mari kita rungkai dengan ringkas kebaikan dan keburukannya.
7.1 Kebaikan
- Pertumbuhan harga.
Sekarang ini NFT sedang menikmati zaman keemasannya. Suasana masih terus heboh; komunitinya semakin besar, harga terus meningkat. Tiada siapa yang dapat meramal ia akan menjadi seperti ini. Jadi mungkin sudah tiba masanya untuk mengambil kesempatan?
- Memiliki sesuatu yang unik.
Sesetengah orang mungkin berasa puas apabila mengetahui bahawa mereka memiliki suatu karya yang unik - lukisan, GIF, imej digital, klip audio atau aset digital lain.
- Peluang untuk mengambil bahagian dalam evolusi teknologi.
Ada yang percaya bahawa teknologi blockchain boleh memacu kemajuan evolusi Internet. Mereka yang berpendapat sebegitu melihat NFT sebagai langkah yang selanjutnya di dalam proses tersebut.
- Perlindungan hak cipta (namun masih boleh didebatkan)
Akhir sekali, terdapat idea bahawa teknologi tersebut boleh memperkukuhkan lagi perlindungan hak cipta.
7.2 Keburukan
- Ia hanya digital.
Setakat ini, NFT boleh digunakan untuk kandungan digital sahaja. Anda tidak boleh mendigitalkan karya seni fizikal kegemaran anda untuk dinikmati sendiri secara eksklusif. Token dimuat naik ke internet, dan sesiapa sahaja boleh melihat, menyalin dan memuat turunnya.
- Nilai yang sukar difahami.
Itulah sisi paling lemah NFT. Malah pakar-pakar bersetuju mengenai hal ini. Walaupun anda mungkin telah membayar berbakul-bakul dolar untuk GIF atau ciapan seorang selebriti, pengguna Internet lain boleh memuat turunnya dengan percuma sahaja. Oleh itu, membeli suatu seni NFT hanya bermakna anda membeli tokennya dan bukan karya itu sendiri.
- Kesan ke atas alam sekitar.
Ini fakta: teknologi blockchain tidak mesra alam. Transaksi memerlukan jumlah kuasa yang tidak masuk akal. NFT tidak terkecuali. Walaupun sukar untuk mengatakan bagaimana ia akan mempengaruhi keseluruhan fenomena blockchain, isu memerlukan satu penyelesaian yang tuntas.
Kesimpulan: Adakah Ada Masa Depan Untuk Token Tidak Sepiawai?
Adakah NFT mempunyai masa depan? Itulah persoalan yang bermain di kepala ramai orang. Di satu sisi, ada yang mengatakan bahawa teknologi itu mempunyai potensi yang amat cerah, terutamanya dari segi hak cipta. Tetapi sebaliknya, isu seperti kesan alam sekitar, ketiadaan kawalan undang-undang, dan sifat umum ekosistem NFT yang tidak dikawal selia kedengaran seperti hujah-hujah serius yang sukar dipandang enteng.
Satu perkara yang pasti: masa depan NFT tiada siapa yang dapat menduga, dan sebarang andaian mengenainya pada hari ini boleh tersasar.
Tetapi melihat dari sudut pandang seorang pelabur, adalah lebih selamat dan lebih munasabah untuk melabur dalam sesuatu yang kita semua tahu dengan pasti, sesuatu yang mempunyai sejarah yang lebih panjang dan kredibiliti yang lebih kukuh. Kripto datang dan pergi, manakala perkara seperti matawang, logam, tenaga dan indeks akan terus kekal bersama kita.
Soalan-Soalan Lazim
Apakah itu NFT?
NFT adalah singkatan untuk token tidak sepiawai (non-fungible token). Ia adalah sejenis token yang berasaskan Ethereum yang tidak boleh dikurup (ditukar) dengan satu sama lain kerana setiap daripadanya adalah unik dan mempunyai nilai yang tersendiri. Setiap token NFT mewakili suatu kandungan digital: imej, GIF, video, tangkapan skrin, kad dagangan maya, muzik, dsb. Token tidak sepiawai dibeli dan dijual sama seperti selayaknya aset atau barang koleksi.
Bagaimana Cara Untuk Membeli NFT?
Anda boleh membeli, menjual dan juga mencipta token tidak sepiawai menggunakan pasaran NFT. Anda perlu mempunyai akaun bursa kripto dan dompet kripto yang menyokong ETH untuk sebarang operasi.
Mengapa orang membeli NFT?
Orang ramai memilih untuk membeli NFT untuk dijual kemudian, apabila harga semakin tinggi, atau untuk menyokong artis kegemaran mereka.
Apakah NFT yang paling mahal?
Pada Disember 2021, The Merge oleh Pak telah dijual pada harga $91 juta, menjadikannya karya seni NFT yang paling mahal setakat ini.
Baca lebih lanjut
- Apa yang anime boleh ajarkan kepada anda tentang perdagangan Forex
- Apakah Syarat-Syarat Untuk Penyenaraian NASDAQ? Panduan Terperinci
- Apa Yang Bollywood Ajarkan Kepada Kita Tentang Kewangan
- Apakah yang telah anda pelajari tentang FBS sepanjang 10 tahun ini?
- Apakah itu Indeks Big Mac?
- Selera filem anda menceritakan banyak tentang personaliti perdagangan anda