• 23 Jan 2025
  • Asas

Apa itu ETP? Memahami Produk Dagangan Bursa

Cover image.jpg

Jika anda sudah biasa dengan dunia pelaburan, anda mungkin pernah melihat istilah produk dagangan bursa atau ETP (exchange traded products). Instrumen kewangan ini semakin popular dalam kalangan pelabur runcit dan institusi atas satu sebab yang mudah: ia menjadikan akses kepada pasaran yang pelbagai lebih mudah dan lebih cekap. Tetapi apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan ETP, dan mengapa ia menjadi topik hangat? Mari kita rungkai topik ini, selangkah demi selangkah, untuk membantu anda memahami apa yang membuatkan ia begitu menarik.

Asas-asas produk dagangan bursa

Paling mudah, produk dagangan bursa (ETP) adalah sejenis sekuriti pelaburan yang anda boleh beli dan jual di bursa saham sama seperti saham individu. Walau bagaimanapun, apa yang membezakan ETP ialah desainnya — ia direka khusus untuk menjejaki prestasi suatu aset pendasar atau sekumpulan aset. Ini termasuklah indeks saham, komoditi, bon, atau bahkan matawang.

Berikut satu contoh yang relevan untuk gambaran yang lebih jelas. Katakan anda tertarik dengan idea melabur dalam emas. Anda boleh ambil pendekatan "old-school" dan membeli emas fizikal, tetapi kemudian anda perlu memikirkan tentang penyimpanan dan keselamatannya, selain daripada kos-kos lain yang terlibat. Sebagai alternatif, anda boleh memilih untuk melabur dalam ETP yang berfokus pada emas. Produk jenis ini mencerminkan pergerakan harga emas, membolehkan anda terdedah kepada prestasinya tanpa perlu bersusah payah memilikinya secara fizikal. ETP secara dasarnya memberi anda cara yang mudah dan efisien untuk melabur dalam pelbagai aset melalui satu produk.

Buka akaun Demo

Ciri-ciri utama ETP

Terdapat beberapa ciri menonjol yang menjadikan ETP pilihan yang popular bagi para pelabur. Mari kita lihat dengan lebih dekat apa yang membezakannya daripada instrumen kewangan lain.

1. Kebolehdagangan

Salah satu kelebihan terbesar ETP ialah ia didagangkan di bursa pada waktu operasi pasaran, sama seperti saham. Ini bermakna anda boleh membeli atau menjualnya dalam masa nyata, memanfaatkan turun naik harga sepanjang hari perdagangan. Bandingkan ini dengan dana amanah, yang harganya ditentukan hanya sekali, pada penutupan hari perdagangan. Bagi pelabur yang mencari fleksibiliti dan kebolehsuaian yang cepat, ETP adalah "game-changer".

2. Ketelusan

Dengan ETP, anda tahu apa yang anda akan dapat. Penyedia produk ini biasanya mendedahkan pegangan mereka dengan kerap, jadi anda boleh melihat komposisi sebenar pelaburan anda.

Sebagai contoh, jika anda melabur dalam ETF (sejenis ETP) yang menjejaki S&P 500, anda boleh melihat senarai penuh syarikat yang membentuk indeks tersebut. Tahap ketelusan ini membantu pelabur membuat pilihan yang lebih bermaklumat dan berasa yakin di mana mereka meletakkan wang mereka.

3. Kecairan

Keupayaan untuk membeli atau menjual pelaburan dengan cepat adalah kritikal, dan ETP cemerlang dalam bidang ini. Dengan kecairan yang tinggi, anda boleh masuk atau keluar dari posisi tanpa mengkocak gelombang di pasaran. Ini amat penting jika anda menguruskan portfolio anda secara aktif atau ingin memastikan anda tidak terbelenggu dengan suatu aset apabila anda perlu menjualnya.

4. Keberkesanan kos

ETP biasanya mengenakan fi yang lebih rendah berbanding dana amanah, yang menjadikannya pilihan yang lebih mesra bajet bagi ramai pelabur. Pengurusan kos adalah komponen yang penting dalam kejayaan pelaburan jangka panjang, dan kos ETP yang murah menjadikannya pilihan yang menarik untuk semua orang — dari profesional berpengalaman hingga pemula yang baru mula membina portfolio mereka.

Jenis-jenis ETP

Produk dagangan bursa datang dalam pelbagai bentuk, masing-masing direka untuk memenuhi matlamat dan pilihan pelaburan tertentu. Jom kita lihat dengan lebih dekat jenis-jenis ETP yang utama dan perbezaannya.

ML (1).jpg

Dana dagangan bursa (ETF)

ETF (Exchange Traded Funds) mungkin jenis ETP yang paling dikenali ramai. Dana ini direka untuk mengikuti prestasi indeks, sektor, atau kelas aset, yang menawarkan kepelbagaian segera dengan usaha yang minimum.

Sebagai contoh, ETF yang terikat dengan S&P 500 membolehkan anda melabur dalam prestasi 500 syarikat dagangan awam terbesar di A.S., semua dengan sekali jalan. Lebih-lebih lagi, ETF biasanya mengenakan yuran pengurusan yang rendah, menjadikannya pilihan yang wajar untuk pelabur pemula dan berpengalaman.

Nota dagangan bursa (ETN)

ETN berfungsi dengan cara yang sedikit berbeza. Ia tidak mempunyai aset pendasar, sebaliknya ia instrumen hutang tidak bercagar yang terikat dengan prestasi indeks pasaran atau penanda aras lain. Oleh kerana ETN dikeluarkan oleh institusi kewangan, ia membawa risiko kredit, yang bermaksud pulangan anda bukan sahaja bergantung pada prestasi indeks, tetapi juga pada kestabilan kewangan penerbit. Walaupun ia tidak memiliki aset seperti halnya ETF, ETN cara yang cekap untuk mengakses strategi atau pasaran niche tertentu.

Komoditi dagangan bursa (ETC)

Jika anda tertarik dengan komoditi seperti emas, perak, atau minyak tetapi tidak mahu bersusah payah menguruskan aset fizikal, ETP komoditi mungkin pilihan yang sangat baik. Produk-produk ini menjejaki nilai komoditi fizikal, membolehkan anda mendapat manfaat daripada perubahan harga tanpa perlu menyimpan atau mengendalikan komoditi itu sendiri. Ia sangat popular dalam kalangan pelabur yang ingin melakukan lindung nilai melawan inflasi atau mempelbagaikan portfolio mereka dengan aset nyata.

Cara ETP berfungsi

ETP direka untuk mencerminkan prestasi penanda aras tertentu. Ini dicapai menerusi pelbagai cara berbeza.

Kaedah replikasi

Produk dagangan bursa menggunakan dua pendekatan utama untuk menjejaki penanda aras mereka. Yang pertama ialah replikasi fizikal, di mana ETP sebenarnya memiliki aset pendasar. Sebagai contoh, ETF yang menjejaki S&P 500 akan memegang saham dalam semua 500 syarikat yang ada dalam komposisi indeks tersebut. Pendekatan yang kedua ialah replikasi sintetik, yang bergantung pada derivatif kewangan seperti swap untuk meniru prestasi yang diingini. Walaupun ETP sintetik memperluaskan akses kepada pasaran yang sukar untuk ditiru secara fizikal, ia datang dengan lebih banyak kerumitan dan risiko pihak lawan (counterparty risk).

Penyesuaian dengan pasaran

Satu lagi ciri menarik ETP ialah keupayaan mereka untuk menyasarkan segmen tertentu dalam pasaran. Sesetengah daripadanya memberi tumpuan pada sektor tertentu, seperti teknologi atau penjagaan kesihatan, sementara yang lain mengkhusus dalam kelas aset tertentu seperti emas, minyak, atau bahkan matawang kripto. Di samping itu, ETP boleh mewakili aset berprestasi tinggi sesebuah negara, seperti saham cip biru atau bon kerajaan, yang mendedahkan pelabur kepada pasaran antarabangsa. Fleksibiliti ini membuka pintu kepada strategi pelaburan yang disesuaikan, sama ada anda ingin mengembangkan kekayaan anda dalam sektor berpotensi tinggi, melindungi nilai daripada risiko, atau mempelbagaikan portfolio secara global.

Metrik seperti kecairan, volum perdagangan, dan nisbah perbelanjaan juga memainkan peranan penting dalam membantu pelabur menilai sama ada ETP tertentu sejajar dengan matlamat kewangan mereka.

Kebaikan dan keburukan ETP

Seperti mana-mana instrumen kewangan, produk dagangan bursa mempunyai kelebihan dan kelemahan tersendiri. Berikut beberapa renungan yang seimbang untuk membantu anda menimbang pilihan anda.

Pro

Kecairan: ETP didagangkan sepanjang hari di bursa saham, memudahkan pelabur untuk masuk atau keluar posisi.

Ketelusan: Laporan yang kerap tentang pegangan memastikan anda tahu dengan tepat apa yang anda laburkan.

Kepelbagaian: Dengan satu ETP, anda boleh mengakses pelbagai kelas aset, pasaran, atau sektor, menjimatkan masa dan usaha anda.

Kos yang rendah: Berbanding dengan dana yang diuruskan secara aktif, ETP sering mengenakan fi yang lebih rendah, meningkatkan pulangan bersih anda.

Kontra

Turun naik pasaran: Sama seperti saham, harga ETP boleh turun naik sepanjang hari perdagangan, ini mungkin tidak sesuai untuk pelabur yang menghindari risiko.

Ralat penjejakan: Kadang-kadang prestasi ETP tidak sepadan dengan penanda arasnya, yang boleh menyebabkan percanggahan kecil dari masa ke masa.

Risiko kredit: Ini adalah kebimbangan yang utama berkaitan ETN, kerana ia bergantung pada kebolehpercayaan kredit institusi yang menerbitkannya.

Dengan memahami pelbagai jenis ETP, cara ia berfungsi, serta pro dan kontranya, anda akan lebih bersedia untuk memutuskan sama ada ia sesuai dengan rancangan pelaburan anda. Dunia produk dagangan bursa penuh dengan potensi. Sama ada anda pelabur kali pertama atau peserta pasaran berpengalaman, kemungkinan terdapat ETP di luar sana yang sepadan dengan matlamat kewangan dan toleransi risiko anda.

ETP berbanding produk kewangan lain

Produk dagangan bursa menawarkan kelebihan unik berbanding instrumen kewangan lain. Tidak seperti dana bersama, yang hanya didagangkan pada penghujung hari, ETP boleh dibeli dan dijual sepanjang hari perdagangan, memberikan harga masa nyata dan fleksibiliti yang lebih tinggi. Mereka juga cenderung untuk mengenakan fi pengurusan yang lebih rendah, yang boleh membantu mengurangkan kos pelaburan keseluruhan.

Berbanding dengan saham individu, ETP menonjol kerana manfaat kepelbagaian mereka, membolehkan pelabur mengakses pelbagai aset atau keseluruhan indeks pasaran melalui satu produk. Gabungan kemampuan, kebolehdagangan intrahari, dan kepelbagaian ini menjadikan ETP pilihan yang menarik bagi ramai pelabur.

Ringkasan

ETP adalah penyelesaian moden dan fleksibel untuk pelabur yang ingin mempelbagaikan portfolio mereka dan mendapatkan pendedahan kepada pelbagai aset. Sama ada anda membeli komoditi seperti emas, menjejaki indeks saham, atau meneroka pasaran bon, ETP menyediakan cara mudah untuk mengakses peluang ini tanpa kerumitan pemilikan langsung.

Jika anda menghargai ketelusan, kebolehdagangan masa nyata, dan keberkesanan kos, ETP mungkin sesuai untuk strategi pelaburan anda. Luangkan sedikit masa untuk meneroka pilihan yang ada, dan anda mungkin mendapati bahawa produk serba boleh ini membuka pintu ke satu dunia baru yang penuh dengan peluang pelaburan untuk anda.

Memandangkan anda telah mendapat pemahaman yang lebih baik tentang cara ETP berfungsi dan apa yang menjadikannya istimewa, apa kata jika anda ambil langkah yang seterusnya? Tinjau pelbagai ETP yang tersedia di pasaran dan lihat jika selaras dengan matlamat kewangan anda.

Daftar sekarang

Kongsi kepada rakan-rakan: