• 18 Sept 2024
  • Asas

Koin Quarter Mana Yang Bernilai Tinggi?

MDP-4866_Cover_EN.png

Pengenalan

Koin sangat memuaskan apabila dipegang dan diteliti; hobi mengumpul koin sebagai koleksi juga sangat mengasyikkan. Ini benar lebih-lebih lagi dengan koin yang lebih besar dan berat, bukan? Berdasarkan metrik ini, di Amerika Syarikat, koin yang paling memuaskan adalah koin quarter (25 sen). Terdapat juga koin satu dolar dan koin lima puluh sen — ia lebih besar dan lebih berat daripada quarter, tetapi lebih jarang ditemui. Bagi orang-orang di Amerika, koin quarter mempunyai estetika yang lebih tinggi dan lebih nikmat disentuh berbanding koin-koin lain, dan sesetengah quarter turut memberikan satu lagi bentuk kepuasan kepada para kolektor: kepuasan kewangan.

Sejak abad ke-18, koin 25 sen bukan sahaja mempunyai berat yang semacam, tetapi ia juga kaya dengan kisah-kisah lagenda dan mistiknya sendiri. Bermula pada tahun 1999, reka bentuk lama bahagian belakang tidak digunakan lagi setelah menghiasi koin tersebut untuk satu masa yang amat panjang. Jika dahulu ia menampilkan seekor helang, kini bahagian belakang koin itu mempunyai beberapa reka bentuk yang unik, dilancarkan secara bersiri. Yang pertama, yang berlangsung sehingga 2008, adalah siri State Quarter. Ia menampilkan lima puluh enam reka bentuk yang unik, masing-masing mewakili salah satu negeri atau wilayah Amerika Syarikat dengan landskap yang tertempa dengan indah. Pada tahun 2024, di banyak bandar AS, quarter masih menjadi satu-satunya cara untuk membayar meter letak kereta atau mesin dobi.

Selain daripada nilai metafizik, patriotik, dan estetik yang ada padanya, quarter adakalanya sangat bernilai tinggi. Bagi para numismatists (pengumpul koin), sesetengah quarter adalah harta karun yang tersembunyi dalam poket orang ramai. Sebagai contoh, baru-baru ini quarter 1970 dari satu siri langka (rare) yang ditempa dua kali secara tidak sengaja di atas koin Kanada dari tahun 1941 telah terjual di eBay dengan harga $35,000.

Ada baiknya jika kita fahami nilai koin ini berbanding nilai zahirnya walaupun anda tidak pernah mempertimbangkan untuk mengumpul koin sebagai satu pelaburan. Anda mungkin orang biasa-biasa namun tanpa diduga sebenarnya memiliki koleksi berharga di dalam poket anda atau di dalam kotak koin kereta anda. Cuba selidiki – berapakah nilai koin quarter anda?

Apa pun alasan di sebalik minat anda terhadap quarter AS, setelah membaca artikel ini, anda akan lebih kaya dengan pengetahuan mengenainya.

MDP-4866_1_EN.png

Sejarah quarter Amerika Syarikat

Quarter, atau suku dolar, iaitu nama rasminya, pertama kali muncul pada tahun 1796. Ditempa di Philadelphia dua puluh tahun selepas Amerika Syarikat mengisytiharkan kemerdekaan dari Great Britain, dan empat tahun selepas kilang percetakan wang pertama negara itu dibina, quarter telah dikeluarkan secara berterusan sejak tahun 1831. Nilai nominalnya ialah 25 sen, atau seperempat (satu suku) dolar.

Dahulu, orang ramai pernah memanggil quarter sebagai "two bits." Istilah yang comel ini kini paling sering didengar dalam filem mengenai koboi atau gangster — contohnya, “get out of here, you two-bit hustler!”Perkataan "bit" adalah istilah yang sering digunakan untuk memanggil piece of eight — perkataan yang kini kita dengari lazimnya dalam filem-filem berkaitan lanun di samudera luas. Piece of eight adalah seperlapan dolar Sepanyol — matawang yang biasa digunakan di peringkat antarabangsa pada masa itu. Koin yang ditempa di Amerika Latin, dolar Sepanyol direka agar boleh dipecah-pecahkan kepada lapan kepingan kecil yang disebut bit. Dua bit bersamaan dengan dua per lapan, atau satu suku, dolar Sepanyol.

MDP-4866_2_EN.png

Bagaimana quarter hilang peraknya

Komposisi quarter kini terdiri daripada lebih 90% tembaga, dan sebahagian besar daripada selebihnya adalah nikel. Namun, sehingga tahun 1965, 90% kandungan quarter adalah perak.

Sejak adanya Silver Purchase Act of 1946, Amerika Syarikat secara konsisten membeli lebih banyak perak daripada negara lain. Akta yang sama juga memaksa Perbendaharaan AS untuk menjual perak itu pada harga tetap. Pada awal 60-an, kerajaan AS beralih arah dan mula menjual perak. Penjualan dan penggunaan ini menyebabkan bekalan berkurangan, sehingga meningkatkan harga logam itu, yang bermakna perak dalam koin akan bernilai lebih daripada nilai muka duit syiling.

Pelabur perak semakin jelas menyedari bahawa AS akan berhenti mengeluarkan koin perak. Unjuran ini membawa kepada sentimen pasaran yang bullish yang berlanjutan sepanjang awal 60-an dan melonjakkan harga perak. Pada tahun 1965, US Mint tidak lagi menggunakan perak dalam semua koin yang baru ditempa.

Perubahan rupa quarter dari masa ke masa

Sebelum wajah presiden pertama Amerika Syarikat, George Washington, 1932, digunakan secara tetap pada sisi hadapan, quarter menampilkan pelbagai varian imej Lady Liberty yang berbeza. Dalam tempoh itu, cakera logam legendaris itu direka semula sebanyak lima kali.

Imej Lady Liberty, alegori neo-klasikal yang sangat lazim pada akhir abad ke-18, menghiasi ikonografi kedua-dua revolusi yang pada era itu mengubah orde dunia dengan cepat dan ganas - revolusi Amerika, dan revolusi Perancis. Rekaan dengan wajah George Washington telah direka oleh pengukir John Flanagan. Beliau mengukir wajah Washington berdasarkan satu patung yang diukir pada tahun 1786 (ketika Washington masih hidup, dan belum menjadi presiden) oleh pengukir Perancis Jean-Antoine Houdon.

MDP-4866_3_EN.png

Statue of Liberty, sebuah arca tembaga gergasi legenda setinggi lebih 100 meter di New York, adalah hadiah yang diberikan kepada Amerika Syarikat oleh Perancis pada tahun 1876 untuk meraikan seratus tahun Pengisytiharan Kemerdekaan Amerika.

MDP-4866_4_EN.png
Statue of Liberty dalam proses pemasangan, 1886.

Quarter lain yang boleh dijadikan koleksi

US Mint telah menghasilkan banyak siri edisi terhad dengan reka bentuk yang unik. Dari tahun 1999 hingga 2009, US Mint menghasilkan lima puluh reka bentuk baru (lima setiap tahun, masing-masing memaparkan reka bentuk yang unik di sebaliknya mewakili negeri-negeri yang menganggotai persekutuan). Koin khas ini dilancarkan mengikut urutan tarikh kemasukan negeri-negeri berkenaan ke dalam Amerika Syarikat, bermula daripada tahun 1789.

Sisi hadapan koin menampilkan wajah Washington. Tulisan yang biasanya terdapat pada sisi belakang seperempat juga dialihkan ke bahagian depan untuk memberi ruang kepada reka bentuk baru di bahagian belakang.

Pada tahun 2009, reka bentuk lima puluh negeri disusuli dengan enam lagi rekaan baru yang memberikan penghormatan kepada Washington D.C. dan wilayah-wilayah naungan Amerika Syarikat. Siri quarter National Park kemudian menyusul dari 2010 hingga 2021. Pada masa ini, Amerika Syarikat berada dalam tahun ketiga siri Wanita Amerika, yang akan berterusan sehingga 2025, melancarkan lima reka bentuk baru setiap tahun yang menampilkan wanita-wanita Amerika yang penting dalam sejarah.

Wang diperlukan untuk berjual-beli. Pada masa lalu, orang ramai tidak membeli barang daripada sumber yang jauh. Mereka menampung kebanyakan keperluan kehidupan dengan apa yang mereka hasilkan sendiri. Apa yang mereka tidak boleh tanam, buru, atau cari di hutan, mereka dapatkan daripada jiran terdekat mereka dan memberikan telur, ayam, susu, lembu, atau tenaga empat kerat mereka sebagai imbal balas. Pakaian dijahit, kasut dibuat (jika ada ahli keluarga yang mahir membuat kasut), dan perabot dibina sendiri di rumah, atau, di kawasan yang lebih maju, oleh tukang jahit, tukang kasut, dan tukang kayu tempatan. Begitulah juga, mereka juga dibayar dengan susu atau ayam. Penginapan dibina dengan bergotong-royong.

Tetapi, apabila kehidupan di sekitar pesisiran Mediterranean menjadi lebih menarik, wujud keperluan untuk mencipta wang yang boleh ditukarkan untuk mendapatkan barangan yang dihantar merentasi satu jarak yang jauh. Orang Yunani, Phoenicia, dan Parsi secara beransur-ansur menormalkan peredaran koin antara abad ke-7 dan ke-5 SM. Menjelang abad ke-2 SM, China juga menggunakan wang, setelah terdedah kepada amalan ini melalui India dan laluan perdagangan sutera dan rempah yang merentasi Eurasia. Beberapa koin terawal Cina berbentuk seperti bilah, bukannya cakera. Orang Cina juga pesat mengembangkan idea penggunaan koin dengan mencipta wang yang dicetak pada kulit rusa - pendahulu wang kertas.

Apa yang menentukan nilai quarter

Pada asasnya, untuk mengetahui sama ada quarter anda bernilai hanya 25 sen atau sebenarnya lebih, selidiki seberapa langka koin anda. Keadaan dan popularitinya dalam kalangan para kolektor juga memainkan peranan yang penting.

Para kolektor sentiasa saling berhubung, kerap saling berhubungan, dan bertukar maklumat dengan kolektor dan penjual koin lain. Berkomunikasi dengan pakar yang berpengalaman boleh memberikan pandangan yang berharga.

Begitu juga, adalah penting untuk merujuk "price guides" semasa dan rekod lelongan terkini, serta membiasakan diri dengan pasaran secara umum.

Trade sekarang
  • Kelangkaan (Rarity). Quarter yang langka cenderung mempunyai nilai yang lebih tinggi di pasaran numismatik. Apa yang menjadikan suatu koin langka termasuklah edisi tertentu atau edisi khas, kuantiti dikeluarkan yang rendah, dan kesilapan dalam pengeluaran. Koin yang ditempa di kilang percetakan wang tertentu, terutamanya jika ia dihasilkan dalam kuantiti yang rendah, boleh mendapat permintaan yang lebih tinggi, meningkatkan nilai mereka. Awasi mint marks, tempaan berganda (doubled dies), pertembungan acuan (die clashes), dan penjajaran acuan yang pincang (misaligned strikes) — faktor-faktor ini menjadikan quarter lebih bernilai kerana ia unik.

  • Keadaan (Condition). Sebagai satu pegangan umum, lebih sedikit kesan lusuh dan rosak pada koin, ia lebih berharga. Gred koin ditentukan berdasarkan keadaannya, dan ditentukan oleh enam faktor: tempaan (strike), keterpeliharaan (perservation), kilauan (luster), warna, daya tarikan, dan kilang ia dicetak.

  • Permintaan. Koin yang lebih popular dalam kalangan kolektor mempunyai nilai yang lebih tinggi. Trend pasaran lebih cenderung berdasarkan kelangkaan: nilai sejarah, elemen reka bentuk yang unik, dan tema tertentu.

Penggredan koin yang paling andal boleh dilakukan oleh syarikat numismatik profesional pihak ketiga yang berfungsi berdasarkan piawaian rasmi 1977 yang diterbitkan oleh Persatuan Numismatik Amerika (ANA). Jadual di bawah menunjukkan gred asas koin dan maksudnya:

GRED

KETERANGAN

PROOF – (PF/PR)

Koin yang tidak ditempa untuk edaran, dengan perincian yang jelas dan biasanya dengan permukaan selicin cermin. Proof bukanlah keadaan koin, tetapi kaedah pembuatan: acuan yang digilap dan planchet khas digunakan untuk menempa koin proof. DIbuat khas terutamanya untuk para kolektor, koin proof tidak diedarkan.

MINT STATE(MS, UNC)

Koin tanpa sebarang tanda lusuh. Seperti yang dijelaskan di bawah, tanda cela, perbezaan tona, dan ketidaksempurnaan waima sedikit boleh menyebabkan suatu koin sedikit berbeza dari yang lain.

PERFECT UNCIRCULATED (MS-70)

Tiada tanda lusuh sama sekali. Tiada calar, bukti digunakan, atau sentuhan dengan koin lain. Koin terbitan biasa (bukan proof) dalam keadaan ini hampir tidak pernah dijumpai.

GEM UNCIRCULATED (MS-65 hingga MS69)

Duit syiling yang tidak beredar dengan daya tarikan visual yang tinggi. Toning cahaya dan sedikit bukti sentuhan pada permukaan atau rim boleh diterima.

CHOICE UNCIRCULATED (MS-63 hingga MS64)

Koin yang tidak beredar dan lebih baik dari rata-rata. Ia berkilat, atau memiliki tona yang sangat sedikit. Beberapa bekas sentuh (contact marks) pada permukaan atau rim duit syiling boleh diterima.

UNCIRCULATED (MS-60 hingga MS62)

Tiada kesan lusuh. Bekas sentuhan diterima. Kilauan sudah pudar sedikit.

CHOICE ABOUT UNCIRCULATED (AU-55 hingga AU58)

Kesan lusuh yang amat ringan hanya diterima pada titik-titik tertinggi pada reka bentuk. Masih cukup berkilat.

ABOUT UNCIRCULATED (AU-50 hingga AU53)

Kesan lusuh yang ringan pada banyak titik tinggi. Sekurang-kurangnya separuh berkilat.

CHOICE EXTREMELY FINE (XF-45 atau EF-45)

Kesan lusuh keseluruhan yang sedikit kelihatan pada titik tertinggi. Semua butiran reka bentuk masih jelas. Sedikit kilauan kilang masih kelihatan jelas.

EXTREMELY FINE (XF-40 atau EF-40)

Kesan lusuh yang ringan pada reka bentuk, tetapi semua ciri-ciri pada duit syiling mesti jelas. Sedikit kesan kilauan masih kelihatan.

CHOICE VERY FINE (VF-30 hingga VF-35)

Permukaan dan bahagian tertinggi pada reka bentuk duit syiling menunjukkan kesan lusuh yang ringan dan sama rata. Semua ciri dan teks tidak tajam, tetapi kelihatan.

VERY FINE (VF-20 hingga VF-25)

Titik-titik tinggi pada reka bentuk duit syiling adalah sederhana lusuh. Semua butiran utama kelihatan, ketajaman sudah tidak terpelihara.

FINE (F-12 hingga F-15)

Kesan lusuh yang sederhana hingga besar. Reka bentuknya agak lusuh, tetapi masih dapat dilihat secara keseluruhan.

VERY GOOD (VG-8 hingga VG-10)

Jelas sudah lusuh dengan ciri-ciri utama masih jelas.

Quarter yang paling berharga

Quarter sudah dikeluarkan selama 228 tahun. Berikut adalah quarter yang paling berharga, mengikut urutan kronologi berdasarkan kuantiti keluaran. Berapakah nilai koin quarter anda?

Draped Bust Small Eagle, 1796

MDP-4866_5_EN.png

Liberty menghadap ke kanan dengan reben di rambutnya yang terurai bebas, dan dadanya dibalut dengan kain. Perkataan LIBERTY ditulis di atas kepalanya, tahun ditunjukkan di bawah dada, dan bahagian depan menunjukkan 15 bintang (satu untuk setiap negeri pada masa itu). Ini antara quarter yang pertama ditempa.

Terdapat lima puluh bintang pada bendera Amerika Syarikat hari ini. Ia mewakili 50 buah negeri. Tiga belas jalur pada bendera mewakli kumpulan koloni pertama yang mengisytiharkan kemerdekaan mereka dari Great Britain dua puluh tahun sebelum quarter pertama ditempa.

MDP-4866_6_EN.png

Bahagian belakang quarter pertama dihiasi dengan helang yang kecil, dan dikalungi dengan karangan bunga laurel (melambangkan pencapaian dan kemenangan) dan perkataan UNITED STATES OF AMERICA. Denominasi koin tidak ditunjukkan di kedua-dua belah permukaan.

Antara semua koin Amerika, ini antara yang paling langka. Terdapat hanya kira-kira enam ratus quarter Draped Bust Small Eagle 1796 yang masih wujud hari ini. Ini kurang daripada 10% daripada keseluruhan kuantiti cetakan pertama.

Bergantung pada keadaannya, koin daripada cetakan ini boleh bernilai bermula dari sekitar $1000. Koin dalam keadaan Fine (F) atau Very Fine (VF) boleh mencecah beberapa ribu dolar, Extremely Fine (EF) atau About Uncirculated (AU) boleh mencapai puluhan ribu, dan koin Mint State (MS) boleh mencecah harga 6 atau bahkan 7 angka. Pada tahun 2022, quarter Draped Bust Small Eagle 1796 dengan gred MS-66 telah terjual dengan harga lebih dari $1,740,000.

Quarter Draped Bust Heraldic Eagle 1804

MDP-4866_7_EN.png

Ini adalah koin yang sangat berharga dan penting dari segi sejarah. Dari segi rupa, ia kelihatan sama dengan quarter 1796. Bahagian belakang menampilkan seekor helang yang lebih besar dengan sayap terkuak luas, memegang anak panah di cakar kanannya, dan ranting zaitun di cakar kiri. Di hadapannya ada reben yang mengandungi teks E PLURIBUS UNUM, dan perisai yang mengandungi tiga belas jalur — satu untuk setiap koloni British asal yang bersatu untuk mengisytiharkan kemerdekaan. Langit dengan bintang dan serangkai awan berada di atas kepala helang, dan denominasi 25 C tercetak di bawahnya.

Anak panah dan ranting zaitun yang dicengkam helang itu setiap satunya melambangkan kekuatan dan kedamaian. Burung helang itu sendiri melambangkan kuasa pemerintah dan identiti negara.

Berapakah nilai quarter ini? Quarter Draped Bust 1804 dalam bergred Average Condition (AC) bernilai kira-kira $1600. Walau bagaimanapun, dalam keadaan MS, anda boleh jual koin anda pada harga lumayan $157,700.

Quarter Seated Liberty 1838

MDP-4866_8_EN.png

Pertengahan dekad 1830-an menyaksikan revolusi dalam teknologi penempaan koin. Sehingga masa itu, koin telah ditempa menggunakan tenaga manusia atau kuda, dengan setiap mesin hanya dapat menghasilkan sedozen koin seminit. Walau bagaimanapun, pada tahun 1831, ekspedisi khas oleh artis dan arkivis Franklin Peale untuk meninjau kilang penempaan koin Eropah memberikan banyak maklumat yang membantu membaik pulih sistem penempaan koin di Amerika Syarikat. Teknologi canggih kuasa stim sebelum teknologi elektrik kemudiannya diguna pakai untuk menempa koin.

MDP-4866_9_EN.png

MDP-4866_10_EN.png

Antara koin pertama yang ditempa dengan mesin baru berkuasa stim itu ialah quarter Seated Liberty, yang menampilkan reka bentuk yang diperbaharui di kedua-dua belah permukaan.

Di bahagian depan, Lady Liberty dipaparkan berbadan penuh, duduk di atas batu dengan badannya menghadap ke kanan, tetapi kepalanya berpaling ke kiri. Dia memegang tongkat kayu (simbol kuasa) dengan topi seorang askar revolusioner tergantung di hujungnya, di tangan kirinya. Di sebelah kanannya terdapat perisai dengan bintang dan jalur. Dia dirangkum oleh tiga belas bintang, dan tahun dicetak di bahagian bawah.

Burung helang dengan anak panah (perang) di cakar kirinya, dan ranting zaitun (perdamaian) di sebelah kanannya, perisai dengan jalur di dada, dan sayapnya direntang luas, menghiasi permukaan belakang, dirangkum oleh teks seperti biasa.

Dalam keadaan yang daif atau rata-rata, duit syiling ini mungkin berharga serendah $100 atau kurang, tetapi dalam keadaan "mint" nilainya boleh mencecah ribuan dolar. Koin daripada edisi tempaan ini telah mencapai $285,000 dalam satu lelongan, angka yang luar biasa sekali.

Quarter Barber 1901-S

MDP-4866_11_EN.png

Direka oleh Charles Barber pada tahun 1891, siri quarter Barber mencerminkan gaya baru. Penampilan koin ala-ala Romantik Inggeris sudah ketinggalan zaman, dan koin yang lebih brutal, AS menginginkan koin yang berorientasikan masa depan. Dalam media cetak, koin tersebut digambarkan pada masa itu sebagai "wang paling hodoh dalam kalangan negara-negara bertamadun," manakala tongkat dan topi di tangan kiri Liberty digambarkan sebagai "penyapu dengan topi tidur di atasnya" (The Galaxy, 1876).

Bahagian depan reka bentuk baru Barber mempunyai profil Liberty yang besar yang menghadap ke kanan, memakai topi revolusioner dan karangan bunga laurel di kepalanya, dirangkum oleh tiga belas bintang... IN GOD WE TRUST ditulis di bahagian atas, dan tarikhnya diukir di bahagian bawah. Bahagian belakang ada satu lagi varian helang dengan anak panah, ranting zaitun, perisai, reben bertulis E PLURIBUS UNUM yang dipegang di paruhnya, dan bintang di atas kepala.

Barber 1901-S adalah quarter yang langka, dari kilang San Francisco Mint. Hanya 72,664 koin ini pernah ditempa. Kerana kelangkaannya ini, harga kuarter Barber 1901-S boleh menjangkau ribuan dolar walaupun dalam keadaan yang sudah buruk. Dalam keadaan purata, pemiliknya boleh meminta sehingga $20,000 — 50,000. Barber 1901-S bergred NGC MS-68 yang ditemui pada tahun 1990 dijual dengan harga $550,000. Mungkin anda mempunyai quarter Barber bernilai setengah juta dolar terselit di mana-mana?

Quarter Standing Liberty (Naughty) 1916

MDP-4866_12_EN.png

Quarter pertama tanpa bintang di bahagian depan, koin ini menampilkan Liberty berdiri di antara dua altar bergaya Yunani dengan perkataan IN GOD WE TRUST. Tubuhnya dibalut dengan toga dan payudara kanannya terdedah untuk melambangkan peranan maternal sistem perbankan dalam pematangan negara. Di tangan kirinya, Liberty memegang perisai.

Pada bahagian belakang, reka bentuk ini menampilkan helang yang sedang terbang, bintang, perkataan UNITED STATES OF AMERICA pada bahagian atas, E PLURIBUS UNUM di bawahnya, dan QUARTER DOLLAR pada bahagian bawah.

Tempaan edisi ini adalah satu-satunya yang menampilkan payudara Liberty dalam keadaan terdedah: lantaran kerana bantahan orang ramai, bermula pada tahun berikutnya kemaluan beliau dilindungi oleh zirah (baju perisai berantai atau chainmail). Terdapat hanya 52,000 kuarter Standing Liberty yang ditempa pada tahun 1916. Dalam keadaan AC, koin langka ini bernilai $2,800, meningkat kepada $18,000 atau lebih dalam keadaan yang lebih baik.

Quarter Washington 1932-D dan 1932-S

MDP-4866_13_EN.png

Pada tahun 1932, pada ulangtahun kelahiran George Washinton ke-200, Amerika Syarikat menggantikan imej Liberty pada quarter dengan profil presiden pertama tersebut.

Sejak tahun 1866, Amerika Syarikat mempunyai undang-undang yang melarang penggambaran manusia sebenar pada wang AS.

Ini adalah quarter yang paling biasa dan dikenali ramai. Reka bentuknya pada bahagian depan dan belakang tidak berubah dari tahun 1932 hingga 1998. Bahagian depan mempunyai profil legenda George Washington yang menghadap ke kiri dalam rambut palsu dan tocangnya. Bahagian belakang menunjukkan helang bersayap terkuak seperti biasa, mencengkam anak panah di kedua-dua kaki, dirangkum di bawahnya dengan karangan bunga laurel. Tanda kilang penempa (mint mark) seperti S atau D boleh ditemui di bawah helang. Tanda S bermaksud San Francisco dan D untuk Denver. Kilang San Francisco menghasilkan 408,000 koin pada tahun 1932, dan kilang Denver — 436,800.

Bernilai $200 dalam keadaan daif; dan dalam keadaan sempurna (mint), ia boleh boleh mencapai ribuan dolar. Pada tahun 2008 sekeping koin 1932-D dengan gred MS-66 dijual dengan harga $143,750, dan pada tahun 2020 sekeping koin 1932-S dijual dengan harga $45,500.

Di mana anda boleh menjual kuarters anda

Sedang berfikir untuk melepaskan koleksi duit syiling anda? Begini caranya.

Peniaga koin

Peniaga koin akan membeli secara pukal pada harga 20-40% di bawah nilai sebenar. Sekiranya anda memerlukan wang tunai dengan cepat, mungkin anda boleh mencari mereka. Walau bagaimanapun, sangat penting untuk mengetahui nilai quarter anda terlebih dahulu untuk memastikan anda tidak ditipu.

Lelongan

Lelongan koin adalah platform di mana anda dapat menjangkau khalayak kolektor dan peminat yang lebih luas. Ini pilihan yang sangat baik untuk penjual yang mampu menunggu dengan santai sementara koin mereka terjual satu demi satu. Pihak yang berminat boleh membuat bidaan untuk quarter anda. Koin yang benar-benar berharga akan menyaksikan ramai pembeli yang saling mengatasi untuk mendapatkannya, yang boleh menaikkan harga, jadi ini mungkin pilihan yang cukup menguntungkan. Lelongan mengenakan yuran berbentuk kadar rata atau peratusan bagi setiap transaksi.

Ekspo numismatik

Di pameran koin, anda boleh menunjukkan quarter anda kepada rangkaian atau khalayak sasar bersama dengan numismatists lain. Jika anda menghadirinya sebagai seorang penjual, anda boleh mempunyai reruai atau ruang pameran anda sendiri dan menjual koin anda secara langsung kepada para pengumpul. Interaksi bersemuka ini juga dapat membantu anda mengukur seberapa tinggi nilai quarter anda berdasarkan minat dan maklum balas pembeli segera.

Platform dalam talian

Mungkin anda memerlukan platform dalam talian yang bereputasi untuk membeli dan menjual koin. Adalah sangat penting untuk melakukan usaha wajar (due diligence) dalam meneliti platform. Jangan terlalu mudah memilih platform hanya kerana ia popular — yang paling penting, cari platform yang akan memastikan transaksi anda selamat dan terjamin.

Trade sekarang

Forum dan komuniti dalam talian

Anda boleh menyertai forum dan komuniti koin dalam talian untuk berinteraksi dengan kolektor yang mungkin berminat dengan quarter anda. Tempat pertemuan digital ini adalah tempat yang bagus untuk membina networking, berkongsi maklumat, mencari pembeli, dan memberi anda gambaran mengenai trend pasaran semasa dan nilai koleksi anda.

Ringkasan

Anda tidak perlu mengumpulkan koin, atau melabur, dengan terlalu serius untuk mendapatkan lebih banyak pulangan dari quarter anda berbanding nilai muka mereka. Selain sejarahnya yang menyeronokkan dan beratnya yang menyenangkan, nilai kewangan yang terkandung padanya adakalanya sangat serius. Siapa tahu, mungkin ada rezeki besar di dalam poket anda sekarang. Lain kali sebelum anda memasukkan pakaian ke dalam mesin basuh, periksa kandungan poket anda dengan teliti. Anda tidak mahu lepaskan rezeki besar seperti itu begitu sahaja.

Nilai quarter yang langka dan quarter koleksi boleh berbeza dengan besar sekali. Ia bergantung kepada faktor-faktor seperti kelangkaan, keadaan, mint mark, dan populariti. Nilai koin berubah-ubah seperti mana-mana komoditi lain, jadi jika anda ingin mengoptimumkan nilai koleksi anda, penting untuk anda memantau pasaran dengan mengawasi aspek-aspek yang mempengaruhi harga tertentu ini. Anda juga harus pandai memilih tempat yang betul untuk menjual duit koin anda. Anda mesti bijak melaras jangkaan dan keperluan anda, menggabungkan maklumat itu dengan penyelidikan yang menyeluruh, dan memilih cara yang tepat untuk anda.

Daftar sekarang

Soalan Lazim

Apa yang menentukan nilai quarter?

Seperti mana-mana koin, nilai quarter ditentukan oleh kelangkaan, keadaan, dan daya tarik mereka di pasaran numismatik. Nilai koin berubah-ubah seperti mana-mana komoditi lain, jadi jika anda ingin memaksimumkan keuntungan apabila mencairkan koleksi koin anda, anda harus mengawasi pasaran dan berunding dengan pakar.

Apakah nilai kuarters yang paling mahal?

Quarter yang paling mahal ialah quarter Draped Bust Small Eagle 1796 dalam keadaan sempurna (mint). Hanya 600 daripadanya yang masih wujud. Walaupun dalam keadaan yang daif, koin ini bernilai sekurang-kurangnya $1000. Pada tahun 2022, quarter Draped Bust Small Eagle 1796 yang berkeadaan sempurna telah terjual dengan harga $1,740,000.

Apakah logam yang terkandung dalam quarter?

Sejak tahun 1965, quarter diperbuat daripada gabungan tembaga dan nikel, khususnya teras tembaga dengan lapisan luar nikel, memberikan koin tersebut rupa dan ketahanan yang tersendiri. Dari tahun 1796 hingga 1964, perak adalah bahan yang utama.

Berapakah nilai quarter perak?

Dari 1796 hingga 1837, kuarters adalah 84.24% perak, dan dari 1838 hingga 1964 ia 90% perak. Malah koin humdrum dari tempoh ini sama nilainya dengan nilai perak yang terkandung di dalamnya. Walaupun dalam keadaan yang daif, quarter dari era sebelum 1964 bernilai sekurang-kurangnya $3 — dua belas kali nilai mukanya. Malah sekeping koin sahaja pun sudah mampu membuat suatu koleksi jadi jauh lebih berharga.

Bagaimana cara menjual quarter saya?

Anda boleh menjual koin anda secara borong dengan kerugian 20-40% kepada peniaga koin, melelongnya satu persatu, menjualnya kepada khalayak sasar di ekspo perdagangan dan pameran numismatik, menjualnya di platform dalam talian, atau melalui forum atau komuniti dalam talian. Berusaha untuk mencari cara terbaik untuk menjual quarter anda dan buat pilihan anda dengan teliti, berdasarkan keperluan dan jangkaan anda. Jangan bergantung pada pengiktirafan jenama.

Kenapa quarter kadang-kadang dipanggil "two bits"?

Pada abad ke-18, wang secara amnya dibahagikan kepada denominasi seperti 20 sen, 10 sen, dan 5 sen. Koin puluh lima sen bukanlah fenomena biasa. Walau bagaimanapun, matawang yang meluas digunakan di Amerika adalah dolar Sepanyol. Ia adalah koin yang direka agar boleh dipecahkan kepada lapan keping yang dipanggil dalam dunia berbahasa Inggeris sebagai "bit." Satu bit bernilai seperlapan, dan dua bit bernilai suku dolar Sepanyol. Pada masa itu, kedua-dua matawang itu boleh ditukarkan antara satu sama lain begitu sahaja dengan nilai yang sama, jadi konsep koin suku dolar terus hidup.

Kongsi kepada rakan-rakan: