Adakah Euro Akan Terus Jatuh Di Bawah Pariti?
EURUSD mencecah aras 1.0000, yang dikenali sebagai paras pariti, dan ia telah terus jatuh melewatinya. Mengapa ia mengundang begitu banyak cakap-cakap mengenainya? Pertama, euro jatuh lebih rendah dari $1 adalah suatu yang jarang-jarang berlaku. Namun, apakah maksud pariti euro/dolar? Ini bermakna matawang Eropah dan Amerika memiliki nilai yang sama dan setara. Satu euro bersamaan dengan satu dolar.
Mengapa pariti euro dengan dolar dianggap suatu masalah yang besar?
Sejak matawang tunggal Eropah dilahirkan pada tahun 1999, ia telah jatuh di bawah paras pariti hanya sekali. Itu terjadi di antara tahun 1999 dan 2002 apabila euro menjunam ke paras terendah $0.82 pada Oktober 2000. Sepanjang sejarah euro yang boleh dikatakan agak singkat iaitu kira-kira 20 tahun, ia merupakan matawang yang kedua paling banyak dipegang dalam rizab pertukaran asing selepas dolar AS.
Apakah yang mendorong kelemahan Euro?
1. Rizab Persekutuan AS menaikkan kadar faedah untuk melawan inflasi yang tertinggi dalam 40 tahun, kini sudah pun mencapai 9.1%. Itu meningkatkan daya tarikan dan kekuatan dolar, selain dari kebimbangan kemelesetan global yang semakin meningkat yang mendorong pasaran beralih kepada dolar AS sebagai aset selamat.
2. ECB tidak mengikuti kitaran pengetatan yang diterajui oleh Fed. Bank Pusat Eropah dijangka akan menaikkan kadar pada mesyuarat seterusnya pada 21 Julai. Walau bagaimanapun, ia tidak mencukupi untuk bersaing dengan kelajuan Fed yang pantas, yang sedang mempertimbangkan untuk menaikkan kadar sebanyak 75 mata, atau 100 mata penuh (1%), pada mesyuarat seterusnya pada 28 Julai.
3. Kebimbangan semakin meningkat bahawa kenaikan harga gas akan menjadikan Zon Euro lebih terdedah kepada risiko kemelesetan. Itu menjelaskan mengapa euro menerima pukulan yang parah pada masa ini. Beberapa bank global menjangkakan kemelesetan akan berlaku di zon Euro pada suku ketiga tahun ini.
4. Harga tenaga yang tinggi dan inflasi yang tertinggi dalam sejarah zon Euro. Harga tenaga di Eropah meningkat disebabkan oleh perang di Ukraine, lenyapnya minyak Rusia dari pasaran dunia, dan Rusia memotong bekalan gas ke Eropah. Eropah lebih banyak bergantung kepada minyak dan gas asli Rusia berbanding AS untuk mengekalkan pengeluaran, industri dan penjanaan elektrik. Itu mendorong inflasi di zon Euro ke paras tertinggi 8.6% pada bulan Jun, menjadikan segala-galanya daripada barangan runcit kepada bil elektrik dan utiliti lebih mahal manakala nilai Euro pula telah melemah.
5. Ekonomi AS lebih kukuh berbanding ekonomi Eropah. AS sedang menuju ke arah pemulihan ekonomi dengan lebih cepat berbanding Zon Euro, yang sedang berada di ambang kemelesetan.
Euro bukan satu-satunya yang terjejas dek kekuatan dolar, semua matawang lain turut melemah berbanding matawang AS. Tahun ini, pound British dan yen Jepun telah jatuh dengan ketara berbanding dolar.
Apakah maksud semua ini untuk ECB?
Kejatuhan euro pada saat ini adalah masalah besar yang menyakitkan kepala dan cabaran yang menakutkan bagi Bank Pusat Eropah kerana euro telah melemah bukan sahaja berbanding dolar tetapi juga berbanding matawang lain seperti franc Swiss dan yen Jepun.
Euro yang berterusan melemah akan mendorong kadar inflasi yang sudah tinggi menjadi lebih tinggi, meningkatkan risiko kenaikan harga melebihi sasaran 2% ECB. Kenaikan kadar yang lebih pantas diperlukan untuk mengelakkan euro dari terus mengalirkan darah apabila melawan dolar, yang boleh menambah kesengsaraan di Eropah, yang sudah pun berhadapan dengan kemungkinan kemelesetan.
Jika Eropah memasuki kemelesetan, terutamanya Jerman, ini mungkin menghentikan kenaikan kadar ECB, kerana ia akan memburukkan lagi keadaan. Dalam pada itu, dolar dan ekonomi AS akan berkembang lebih kukuh, melebarkan jurang antara USD dan EUR.
Adakah euro akan terus jatuh di bawah pariti?
Malangnya, penurunan EUR berbanding USD dijangka berterusan. Ia mungkin turun kepada $0.97-$0.95 dalam tempoh terdekat. Euro akan kekal tidak berubah tatkala krisis tenaga Eropah semakin memburuk. Sekiranya ECB menaikkan kadar sekali pun, Fed tetap lebih pantas dan agresif.