ROI perdagangan diperjelaskan

Baca artikel ini di laman web FBS

Trading ROI explained _cover.png

Apakah itu ROI dalam perdagangan?

ROI bermaksud “pulangan pelaburan” (return on investment) dan ia konsep kewangan yang menunjukkan keuntungan atau kerugian yang dijana oleh pelaburan. Konsep ini terpakai bagi mana-mana industri di mana pelaburan boleh dibuat dan ia membawakan keuntungan (atau kerugian). Perdagangan dalam talian atau Forex tidak terkecuali dalam hal ini, jadi mari kita bincangkan tentang ROI perdagangan dalam artikel ini.

Apabila kita memikirkan tentang pulangan pelaburan dalam perdagangan, kita perlu melihat dan memahami kedua-dua sisi — sisi pelaburan dan sisi pulangannya. Apakah yang kita anggap sebagai pelaburan dalam perdagangan? Secara asasnya, sebarang wang yang anda bawa ke akaun perbrokeran anda boleh dikira sebagai pelaburan anda. Anda menggunakan wang itu untuk membuka posisi anda. Inilah yang kita anggap sebagai pelaburan anda dalam perdagangan.

Baki akaun perdagangan anda berubah-ubah, mencerminkan hasil posisi anda yang sedang aktif — keuntungan atau kerugian anda. Anda boleh menggunakan kedua-dua nombor tersebut untuk mengira ROI perdagangan anda.

Cara Mengira ROI

ROI adalah peratusan yang membolehkan kita memahami kadar keberuntungan (profitability) atau efisiensi pelaburan yang telah anda buat. Ia boleh dinyatakan dalam bentuk nisbah mutlak (0.3) atau peratusan (30%).

Trading ROI explained_02.png

Di sini, keuntungan bersih bermaksud semua wang yang anda hasilkan dalam satu tempoh, manakala kos bersih adalah keseluruhan pelaburan awal anda, iaitu semua wang yang anda bawa ke dalam projek.

Nilai yang tinggi menunjukkan pelaburan yang sangat menguntungkan, ia berjalan dengan baik dan terbukti sangat cekap. Dan sebaliknya, jika nombor tersebut negatif, ia menunjukkan pelabur telah mengalami kerugian, bukannya keuntungan.

Mengapa ROI penting?

ROI sangat penting kerana ia membolehkan kita menilai hasil sebenar dalam perdagangan. Oleh kerana ROI dikira menggunakan formula yang sangat ringkas, ia adalah metrik yang sangat praktikal dan mudah yang boleh digunakan oleh pedagang tidak kira apa jua tahap pengalaman mereka.

Sebagai contoh, membandingkan prestasi beberapa pelaburan berbeza dalam industri-industri yang secara umumnya tidak mudah dibandingkan adalah sangat sukar, contohnya seperti saham, hartanah, atau melabur dalam permulaan IT. Walaupun ia tidak boleh dibandingkan secara langsung kerana sifatnya yang sama sekali berbeza, anda masih boleh mengira ROI untuk mana-mana daripadanya dan membandingkan aset-aset yang lazimnya tidak boleh dibandingkan dengan cara lain.

Nilai ROI membolehkan anda membandingkan instrumen-instrumen pelaburan yang berbeza untuk melihat yang mana lebih sesuai untuk anda. Sebagai contoh, anda mungkin gemar memperdagangkan pasangan matawang eksotik, tetapi perdagangan Forex anda hanya memberikan pulangan 5%. Pada masa yang sama, perdagangan komoditi (emas dan minyak mentah) memberikan anda ROI sebanyak 15% untuk tempoh yang sama. Dengan analisis ini, anda boleh mengubah strategi anda dan menumpukan masa dan pelaburan anda pada komoditi.

Selain itu, jika anda merekodkan nilai ROI dalam satu tempoh masa yang panjang, anda akan dapat membuat kesimpulan lanjut mengenai strategi perdagangan dan portfolio anda. Sebagai tambahan kepada statistik untuk posisi anda yang aktif dan yang sudah ditutup, anda akan dapat melihat gambaran yang lebih luas tentang prestasi keseluruhan anda.

Menggambarkan penggunaan ROI dengan contoh

Mari kita pertimbangkan dua trader runcit dengan pendekatan trading yang berbeza.

  • Salah seorang daripada mereka tidak mengira ROI sama sekali dan berdagang secara rawak. Mereka membuka posisi dan hanya melihat kesudahan untuk satu posisi tunggal ini tanpa mengambil kira keuntungan atau kerugian jangka panjang. Pedagang ini menjangkakan pelaburan awal mereka akan meningkat dua kali ganda setiap bulan. Oleh kerana ini adalah ROI yang sangat tinggi dalam trading, ia tidak menjadi kenyataan pada hampir setiap bulan. Malah, purata pulangan Forex cenderung jauh lebih rendah — dan itu wajar-wajar sahaja kerana ia adalah proses kewangan, bukan keajaiban. Walau bagaimanapun, trader ini seolah-olah mengharapkan keajaiban; akhirnya, dia kecewa dan berhenti berdagang.
  • Trader yang seorang lagi berdagang dengan teliti, mengira ROI mereka untuk memahami kesudahan keseluruhan, dan mematuhi strategi perdagangan beliau sendiri. Pedagang ini mengira nilai ROI beliau setiap bulan dan membandingkan nilai dari bulan ke bulan. Oleh itu, pedagang ini mempunyai jangkaan yang sangat realistik. Dia tahu jika dia benar-benar mencatatkan kemajuan, jadi dia dengan yakin terus berusaha untuk menuju matlamatnya yang realistik. Hasil keseluruhan akan jauh lebih baik kerana keyakinan dan pengetahuan benar-benar diperlukan dalam perdagangan.

Trading ROI explained _03.png

Keterbatasan ROI

Jadi, anda dapat melihat bahawa ROI adalah metrik yang sangat berguna yang dapat menunjukkan banyak perkara tentang pendekatan anda, strategi anda, dan pemahaman keseluruhan anda tentang pasaran. Walau bagaimanapun, terdapat keterbatasan tertentu pada ROI yang perlu anda fahami untuk menganalisis keadaan dengan lebih baik.

Pertama sekali, ROI tidak mengambil kira nilai masa wang (time value of money). Untuk mengira ROI, anda hanya perlu mengambil nilai pelaburan anda dan membandingkannya dengan keuntungan. Keuntungan anda mungkin kelihatan mengagumkan, tetapi jika anda mengambil kira masa, anda mungkin akan melihat gambaran yang berbeza tentang situasi anda. Sebagai contoh, ROI 20% adalah hebat, tetapi jika ia bagi tempoh 5 tahun, ia tidaklah mengagumkan.

Selain itu, pengiraan ROI tidak mengambil kira risiko sama sekali. Risiko adalah lumrah dan fitrah untuk mana-mana pelaburan, dan dalam Forex, pulangan lebih banyak bergantung pada risiko berbanding dalam kebanyakan bidang lain, seperti hartanah atau deposit bank. Seringkali pelaburan yang berisiko berpotensi mempunyai nilai ROI yang tinggi, tetapi sebabnya mudah: ia bertujuan untuk mengimbangi risiko yang lebih tinggi. Jika anda ingin melihat gambaran yang menyeluruh, anda perlu mempertimbangkan risiko bersama-sama dengan pulangan Forex.

Satu lagi aspek lain ialah ROI menjadikan konsep pulangan kelihatan teramat mudah. Ia tidak mempertimbangkan pelaburan yang berterusan, seolah-olah anda hanya melabur sekali sahaja, tanpa sebarang kos lanjutan. Dan ini tidak benar dalam kebanyakan industri, termasuk perdagangan. Mungkin anda mahu menambah sejumlah deposit tambahan ke dalam akaun anda untuk membolehkan anda memperdagangkan jumlah lot yang lebih besar, anda mungkin dikenakan komisen atau caj baharu apabila anda mencuba beberapa instrumen baharu untuk portfolio anda. Malah, anda mungkin mahu membayar untuk kursus dan latihan, dan ini juga boleh dianggap sebagai pelaburan dalam penerokaan perdagangan anda.

Kita juga perlu ingat bahawa ROI adalah metrik yang bersifat historikal, iaitu, ia hanya menunjukkan hasil pelaburan masa lalu. Ia tidak boleh digunakan untuk meramalkan keuntungan masa depan. Anda boleh mengandaikan bahawa jika anda secara amnya meraih ROI perdagangan sebanyak 15% dalam tempoh 5 tahun, kadarnya akan sama untuk tahun depan juga. Walau bagaimanapun, ini tidak semestinya benar, dan ada banyak faktor penting lain yang boleh mempengaruhi nilai tersebut dalam masa setahun.

Semua yang telah disebutkan di atas menunjukkan bahawa ROI tidak boleh digunakan sebagai satu-satunya metrik untuk menentukan kejayaan atau kegagalan dalam pelaburan. Trader perlu menambah beberapa lapisan tambahan dan mengambil kira faktor-faktor lain, seperti masa atau pelaburan berterusan, untuk benar-benar dapat melihat prestasi posisi mereka dari aspek kewangan. Setelah pedagang memahami ROI untuk pelbagai instrumen perdagangan mereka, mereka boleh mempelbagaikan portfolio mereka untuk meminimumkan risiko dan memberi tumpuan kepada instrumen yang lebih menguntungkan.

Soalan Lazim

Apakah itu ROI dalam perdagangan?

Dalam perdagangan, ROI (pulangan atas pelaburan) adalah nisbah yang menunjukkan berapa banyak keuntungan atau kerugian yang diraih/ditanggung oleh pedagang berbanding pelaburan awal mereka. Nilai ini menunjukkan kadar keberuntungan (profitability) bagi pelaburan tertentu. Jika anda mendepositkan $500 ke dalam akaun perdagangan anda dengan broker, seperti FBS, dan menerima keuntungan $100, ROI anda ialah 20%.

Dalam perdagangan, bolehkah suatu ROI dijamin dapat dicapai?

Malangnya, dalam perdagangan tiada apa-apa jaminan, termasuk jaminan pulangan atau keuntungan pada kadar tertentu. Perdagangan sifatnya berisiko. Jadi, walaupun ROI adakalanya mengagumkan di sini berbanding dengan perniagaan yang lebih tradisional, seperti hartanah atau bon kerajaan, ia juga hadir besama risiko yang lebih tinggi.

Perdagangan boleh menawarkan hasil yang mengagumkan untuk beberapa instrumen yang sangat meruap, terutamanya apabila terdapat peristiwa besar di pasaran. Walau bagaimanapun, kerugian juga sangat mungkin berlaku, walaupun untuk aset atau instrumen yang sama. Jadi, tidak ada jaminan di sini sama sekali, dan anda harus sentiasa menganggarkan dan menguruskan risiko anda.

Apakah purata ROI yang boleh dijana dalam perdagangan?

Tidak ada ROI purata untuk perdagangan secara umum dan untuk Forex khususnya. Walaupun ROI sebanyak 50% bukan sesuatu yang asing dengan strategi perdagangan yang baik dan beberapa keputusan perdagangan yang dibuat dengan sewajarnya semasa kemeruapan sedang tinggi, ia masih di luar kebiasaan. Malah, pelabur kebanyakannya bersetuju bahawa sebarang nombor yang positif adalah ROI yang baik. ROI yang sangat baik adalah 20%, manakala kebanyakan pedagang aktif gembira dengan 10-15%.

Kesimpulan

Perdagangan adalah pilihan pelaburan yang menarik bagi mereka yang ingin menjana wang dalam talian. Kebanyakan aset yang anda dagangkan dalam talian (dan pelbagai derivatif, seperti pasangan matawang Forex) boleh memberikan pulangan pelaburan yang sangat menarik. Walau bagaimanapun, semua orang harus ingat bahawa keuntungan yang tinggi biasanya datang dengan risiko yang tinggi. Walaupun ROI boleh digunakan untuk membandingkan peluang-peluang pelaburan untuk membuat keputusan berkaitan pempelbagaian portfolio, metrik dan alat tambahan lain harus digunakan untuk menilai risiko dengan lebih baik, mengambil kira tempoh masa pelaburan, dan mempertimbangkan kos pelaburan yang berterusan.

FBS menyimpan rekod data anda untuk mengoperasikan laman web ini. Dengan menekan butang "Terima", anda menyetujui Polisi Privasi kami.