Krisis di negara-negara Amerika Latin. Apakah yang terjadi kepada Argentina pada 2019?
Matawang-matawang Amerika Latin, peso Argentina secara khususnya, telah menjadi agak tidak stabil baru-baru ini, dan perubahan besar dapat dicerap oleh ramai pedagang yang memerhatikan pasaran. Pada masa ini, peso Argentina sedang mengalami kejatuhan yang pantas dengan turun naik yang besar – terlalu pantas walaupun untuk matawang yang lazim berkemeruwapan tinggi. Apakah sebab di sebalik gelombang roller coaster sebegini?
Khusus tentang ekonomi Amerika Latin: latarbelakang
Menurut majoriti ahli ekonomi dan pakar, sebab sebenar bagi inflasi dan penurunan nilai wang adalah politik. Krisis ekonomi Zimbabwe pada era 1990an, krisis Venezuela pada 2010an, malah Kejatuhan Wall Street pada 1929 – semuanya didasari oleh politik dengan signifikan.
Negara-negara Amerika Latin sering terkesan dengan inflasi yang besar. Tetapi mengapa? Ahli ekonomi, André A. Hofman telah menamakan beberapa punca. Beliau percaya sejarah pembangunan suatu negara salah satu faktor kritikal bagi pembangunan hari ini. Justeru itu, dua sebab penting mengapa keadaan Amerika Latin seperti sekarang adalah:
- Ekonomi kebanyakan negara Amerika Latin berdasarkan kepada satu produk eksport utama, dan biasanya produk tersebut berbentuk sumber alam atau produk pertanian seperti kopi, jagung, perak, dsb.
- Sepanjang sejarah mereka, negara-negara Amerika Latin tidak mempunyai strategi ekonomi yang ditakrif dengan kukuh dan jelas, dan kebanyakannya hanya berfungsi mengikut tekanan situasi pada satu-satu masa. Tambahan lagi, biasanya situasi tersebut melibatkan kebergantungan kepada pelaburan asing dan pengaruh politik.
Produk-produk utama yang dieksport oleh Amerika Latin adalah bahan makanan, kopi, bijirin, daging haiwan, bahan bakar mineral, dsb. Sebahagian besar dari produk eksport masih lagi agrarian: lebih 52% di Argentina, sekitar 39% di Colombia (berdasarkan maklumat OEC). Lantaran itu, sebab paling mudah bagi kerosakan ekonomi adalah kemarau, banjir… dalam perkataan lain, tuaian tanaman yang kurang memuaskan akan memberi pukulan hebat kepada ekonomi.
Walaupun negara-negara tersebut sudah merdeka dan tidak lagi dianggap negara jajahan, ekonomi negara-negara Amerika Latin terkait rapat dengan pelaburan asing. Sebagai contoh, USA adalah sumber utama pelaburan asing langsung Mexico: pada 2018, Amerika Syarikat menyumbang $12.3 bilion atau 39% dari semua aliran masuk ke ekonomi negara itu. Penurunan volum pelaburan atau malah sekadar kemungkinan perkara itu berlaku sudah cukup untuk menjejaskan kestabilan matawang nasional dengan serius.
Ogos-September 2019 di Argentina: apa yang berlaku?
Pada 12 Ogos 2019, peso Argentina jatuh sebanyak 30% dalam hanya beberapa jam. Ia telah mencapai paras terendah 65 peso untuk $1. Indeks MERVAL, indeks terpenting di Bursa Saham Buenos Aires jatuh sebanyak 31%. Bon kerajaan juga menerima nasib yang sama. Lantas, matawang nasional, saham, dan bond – semuanya merudum serentak untuk pertama kali dalam 19 tahun.
Penjelasan paling munasabah yang pertama sekali menerjah di minda adalah sebab-sebab politik. Sungguh begitu, ia harus dilihat secara menyeluruh sebagai jujukan peristiwa yang kurang menyenangkan. Jika ia disebabkan hanya kerana satu atau dua peristiwa, peso masih mampu bertahan. Namun jika semuanya digabungkan, ia membawa kepada krisis ekonomi yang signifikan.
Mari kita lihat satu persatu sebab-sebab yang mungkin. Pertama sekali, seperti yang dijangka, politik. Pada 11 Ogos, pilihanraya pendahuluan telah dianjurkan sebelum pilihanraya presiden pada Oktober 2019. Acara ini mendatangkan keputusan yang mengejutkan. Penyandang jawatan presiden, Mauricio Macri mendapat hanya 32% undi, manakala Alberto Fernandez yang disokong oleh mantan presiden Cristina Fernandez de Kirchner menerima 47%.
Walaupun menurut sistem pilihanraya Argentina pilihanraya pendahuluan tidak memberikan kesan kepada keputusan akhir pilihanraya sebenar, keadaan ini menunjukkan betapa jauh En. Macri telah ketinggalan. Ini menjadi satu amaran besar buat para pelabur, terutamanya mereka yang masih mengingati pemerintahan Kirchnerisme dan default tahun 2014 yang diakibatkan oleh politik Cristina Kirchner.
Jadi pilihanraya awal memberikan tanggapan berikut kepada para pelabur: masa depan negara ini dalam keadaan tidak mementu. Justeru itu, tanpa kepastian – tiada pelaburan.
Pada masa yang sama, negara ini masih mengalami krisis makanan. 2018 adalah tahun di mana kemarau paling buruk melanda separuh negara itu – dan ini menyebabkan kerosakan teruk kepada ekonomi suatu negara, di mana sebahagian besar dari eksport adalah makanan dan tanaman. Walaupun para petani meramalkan hasil tuaian yang lebih baik pada tahun ini, kemarau teruk itu sudah pun mencantas eksport perladangan Argentina, memburukkan lagi defisit akaun negara itu. Justeru dari itu, satu lagi faktor adalah hasil tanaman yang berkurangan – eksport yang rendah.
Satu lagi sebab mengapa peso tidak menstabil walau apa pun yang terjadi adalah ucapan Macri selepas kekalahan dalam pilihanraya awal. Beliau mengumumkan pelan untuk merundingkan semula hutang yang ditanggung negara itu, termasuk hutang dengan IMF. Beliau juga cuba melakukan langkah-langkah serius lain untuk mengekang krisis ekonomi negara itu yang semakin meruncing, tetapi tampaknya beliau telah gagal. Peso jatuh lagi sebanyak hampir 25%.
Argentina sudah pun berhutang sebanyak $56 bilion kepada IMF, dan Macri telah memohon $5.4 bilion lagi untuk mempercepatkan bayaran pelaburan. Walaupun IMF bersetuju untuk "terus berdiri bersama Argentina di waktu-waktu mencabar", adalah diragui bahawa Macri akan berjaya. Macri telah melakukan apa yang beliau cuba elakkan sedaya upaya beliau – mendapatkan lebih banyak bantuan kewangan dari IMF. Rakyat mengharapkan seorang ahli perniagaan seperti beliau mampu membawa negara tersebut keluar dari default, tetapi secara teknikalnya ia telah membawa negara itu kembali ke kancah yang sama. Rakyat Argentina tidak memberikan sokongan yang kuat kepada beliau dalam pilihanraya pendahuluan kerana mereka mengharapkan beliau mampu menyelesaikan krisis. Justeru, faktor ketiga adalah harapan ke atas tokoh politik yang ternyata sia-sia.
Apakah yang boleh dijangkakan seterusnya?
Mantan presiden Argentina sebelum ini, Cristina Fernández de Kirchner, telah meninggalkan negara ini di dalam krisis yang parah dan default pada 2014. Beliau menjadi presiden selepas suami beliau, Néstor Kirchner. Sewaktu pemerintahan mereka, inflasi telah mencapai kemuncak yang tertinggi, dan korupsi telah menjadi amat parah walaupun untuk standard Amerika Latin. Tidak hairanlah para pelabur tidak berasa selesa melihat beliau kembali.
Reformasi ekonomi oleh ahli perniagaan seperti Mauricio Macri telah menarik para pelabur selain dari IMF, tetapi malangnya ia tidak menarik minat rakyat. Perubahan-perubahan yang dilakukan beliau tidak membantu meningkatkan kualiti hidup rakyat Argentina mahupun pembangunan ekonomi. Dan ia membawa kita kepada keadaan di mana Cristina Kirchner yang meninggalkan negara dalam keadaan default kini mendapat lebih banyak sokongan sebagai naib presiden kepada Alberto Fernández berbanding En. Macri.
Majoriti ahli ekonomi menjangkakan peso Argentina akan terus jatuh, dan ramalan mereka agak gelap. Kebarangkalian besar, calon pembangkang tidak akan mendapat sokongan yang diperlukan dari para pelabur, dan hutang negara ini mungkin akan kekal di paras yang kurang memuaskan.
Apakah faedahnya ini semua kepada para pedagang?
Peso Argentina, real Brazil, lira Turki – matawang-matawang ini telah mengalami turun naik yang serius dek kerana kemeruwapan mereka yang tinggi. Perubahan besar pada harga matawang ini menyebabkan perubahan kritikal pada pasaran, dan para pedagang mungkin boleh meraih keuntungan besar darinya. Jika anda pantau situasi politik dan gunakan analisis fundamental dengan berhati-hati, anda boleh mengaut keuntungan dari roller coaster matawang.
Baca lebih lanjut
- Selebriti-selebriti Yang Pernah Jadi Pedagang
- Amal Kebajikan Bersama FBS: Bantu Jadikan Dunia Tempat Yang Lebih Baik
- Pilih kumpulan aset anda untuk pelaburan jangka pendek!
- Perdagangan Sosial – Hit Baru Untuk Novis
- Pasang impian. Tetapkan sasaran. Bertindak.
- Program Introducing Broker (IB) FBS – Kaedah Baru untuk Untung
- Lagenda Dunia Kewangan