Recession

Kemelesetan

Apa itu kemelesetan?

Kemelesetan biasanya ditakrifkan sebagai kemerosotan yang berpanjangan dan ketara dalam aktiviti ekonomi dan kewangan. Walaupun terdapat pendapat yang berbeza tentang bilakah kelembapan ekonomi – yang tampak seperti sementara – boleh dianggap dengan tepat sebagai satu kemelesetan, konsensus umum mentakrifkan kemelesetan sebagai keluaran dalam negara kasar (KDNK) yang negatif untuk dua suku berturut-turut.

Selain daripada penurunan KDNK, kemelesetan ekonomi juga datang bersama dengan kadar pengangguran yang tinggi, perbelanjaan kerajaan dan pendapatan sebenar yang rendah. Ini seterusnya akan memberi kesan yang negatif kepada kuasa beli pengguna yang menyebabkan permintaan pasaran terhadap produk tertentu menurun. Untuk terus bertahan, syarikat terpaksa menurunkan kadar pengeluaran mereka dan selalunya hingga terpaksa memberhentikan sebahagian besar pekerja mereka, dan ini hanya menambah kepada masalah sedia ada.

Namun, di sebalik kesan buruknya, kemelesetan juga dianggap sebagai suatu perkara biasa dalam mana-mana ekonomi. Ia tidak dapat dielakkan dan sentiasa muncul selepas satu fasa pertumbuhan ekonomi sambil meletakkan asas untuk pertumbuhan yang seterusnya.

Apakah yang boleh menyebabkan kemelesetan?

Melihat pada punca kemelesetan dari perspektif yang lebih luas, ia bermula apabila kitaran perniagaan berada di kemuncaknya semasa ekonomi sedang berkembang. Disebabkan ekonomi berjalan dengan baik, pengguna mempunyai kuasa beli yang kuat dan mendorong permintaan produk yang lebih tinggi. Untuk mengatasi tekanan ini dan memastikan bekalan yang diperlukan dapat disediakan, syarikat akan menaikkan harga. Pada masa yang sama, bank dan institusi pemberi pinjaman lain turut memudahkan kedua-dua pengguna dan syarikat pengeluaran untuk meminjam wang dan memperoleh lebih banyak hutang.

Walau bagaimanapun, pada satu ketika, satu atau beberapa peristiwa akan menjejaskan pengembangan ekonomi dan menjadikannya mustahil bagi pengguna dan syarikat untuk menyumbang kepada keseimbangan permintaan dan penawaran, dan pada masa yang sama memenuhi kewajipan kewangan mereka kepada pemberi pinjaman mereka. Ekonomi akan berhenti berkembang dan memasuki tempoh kemelesetan baharu, yang berterusan selama beberapa bulan atau tahun.

Tentang peristiwa-peristiwa yang boleh mengganggu ekonomi, terdapat beberapa punca yang mungkin boleh mencetuskan kemelesetan:

  • Kadar inflasi yang tinggiinflasi ialah kenaikan harga barang dan perkhidmatan yang menyebabkan penyusutan kuasa beli dari semasa ke semasa. Inflasi itu sendiri adalah fenomena semula jadi kerana ia juga menggalakkan pertumbuhan ekonomi. Namun, apabila kadar inflasi menjadi terlalu tinggi, gaji tidak dapat bersaing dengan kenaikan harga, dan ini menyebabkan aktiviti ekonomi menjadi perlahan, dan langkah yang diambil oleh pihak berkuasa untuk memerangi inflasi boleh membawa kepada pengangguran jangka pendek dan juga kemelesetan ekonomi.
  • Terlebih bekalan — apabila permintaan terhadap barangan tinggi, syarikat akan berusaha untuk mengeluarkannya sebanyak mungkin. Tetapi apabila permintaan memuncak dan berkurangan, bekalan akan menjadi terlalu berlebihan, dan ini akan menyukarkan syarikat untuk menjual barangan tersebut. Ini boleh membawa kepada pengecilan saiz syarikat, dan ramai orang akan kehilangan pekerjaan dan kuasa membeli, kejatuhan penggunaan dan ketidakseimbangan ekonomi.
  • Gelembung ekonomi — gelembung ekonomi merujuk kepada peningkatan pesat dalam harga sesetengah aset, walaupun nilai intrinsiknya jauh lebih rendah. Ini boleh berlaku semasa keadaan ekonomi kukuh atas pelbagai sebab, termasuk spekulasi, keyakinan pengguna atau trend pasaran semasa. Pelabur menjadi terlalu optimistik dan cuba membeli aset sebanyak mungkin untuk menjualnya apabila harga meningkat. Walau bagaimanapun, akan tiba suatu masa bilamana bekalan jauh mengatasi permintaan, menyebabkan harga jatuh dan penjual bertindak melulu di pasaran kerana panik, yang seterusnya boleh menyebabkan kemelesetan.
  • Kejutan ekonomi — kadangkala peristiwa global atau tempatan yang tidak dijangka boleh menimbulkan masalah kewangan yang teruk, ini membawa kepada ketidaktentuan ekonomi apabila pengguna dan perniagaan keberatan untuk membelanjakan wang mereka. Contoh terbaru ialah pandemik COVID-19, tetapi antara perkara lain yang boleh menjadi pencetus termasuklah peperangan, bencana alam dan gangguan dalam bekalan barang keperluan (contohnya, minyak).
  • Kadar deflasi yang tinggi — walaupun inflasi yang tinggi sangat berbahaya, deflasi juga boleh menyebabkan kemelesetan. Deflasi ialah penurunan harga yang akhirnya akan membawa kepada penurunan kadar upah dan penurunan harga yang seterusnya. Ini mendorong syarikat mengelak daripada mengeluarkan lebih banyak barangan, yang menyebabkan aktiviti ekonomi merosot dan menjejaskan ekonomi.

Peristiwa ini boleh berlaku secara berasingan atau serentak, tetapi kesannya terhadap ekonomi boleh mencetuskan gelombang kemelesetan baharu.

Bagaimanakah kemelesetan boleh menjejaskan perdagangan?

Memandangkan kemelesetan menjejaskan setiap aspek ekonomi, ia juga mempengaruhi pasaran kewangan dengan ketara. Ketika kemelesetan, pedagang dan pelabur lebih berhati-hati dalam menggunakan wang mereka. Malah ada yang mula panik dan mengeluarkan wang mereka daripada perdagangan dan pelaburan sedia ada untuk menyelamatkan keuntungan mereka sebelum pasaran menjunam, ini hanya akan memburukkan lagi keadaan kemelesetan. Tetapi mereka yang masih memegang posisi terbuka juga boleh melihat nilai pelaburan mereka semakin menurun secara drastik dan mereka juga tidak selamat daripada kesan negatif kemelesetan.

Walau bagaimanapun, sesetengah aset lebih berdaya tahan terhadap kemelesetan dan menunjukkan prestasi yang baik semasa pergolakan ekonomi, malah kadangkala nilainya semakin meningkat walaupun situasinya nampak pesimis. Ini berlaku kerana kemelesetan menjejaskan pelbagai sektor pasaran kewangan dan sekuriti secara berbeza, membolehkan perdagangan dilakukan semasa kemelesetan ekonomi, walaupun ia agak sukar.

Pasaran saham

Pasaran saham sentiasa menjadi pasaran yang paling terkesan apabila berlakunya kemelesetan. Ia berlaku kerana kemerosotan ekonomi secara keseluruhan juga memberi kesan kepada kebanyakan syarikat. Kemelesetan biasanya diiringi dengan peningkatan dalam pembayaran hutang dan penurunan hasil, yang menyebabkan harga saham syarikat berprestasi rendah menurun kerana potensi mereka tidak lagi dapat mewajarkan pelaburan monetari dengan cepat.

Disebabkan ini, ramai pedagang cuba menjual saham yang mereka miliki untuk menggantikan wang yang telah mereka laburkan dan ini akan mengakibatkan harga saham jatuh. Melihat perkara ini, pedagang lain cuba mengambil kesempatan daripada penurunan harga dan membeli saham ini semasa ia murah, mendorong harga naik semula. Ini mewujudkan kemeruapan, menjadikannya mustahil untuk meramalkan di mana pasaran akan bergerak seterusnya.

Ini menjadikan berdagang saham semasa kemelesetan sangat berisiko, terutamanya kerana banyak syarikat mungkin berada di ambang kemuflisan. Saham paling berisiko untuk didagangkan dan dilaburkan semasa kemelesetan adalah:

  • saham spekulatif
  • saham syarikat yang berleveraj tinggi
  • saham kitaran

Walaupun begitu, saham masih boleh diperdagangkan semasa kemelesetan. Namun begitu, adalah penting untuk mengumpulkan maklumat tentang aliran tunai, hutang dan sejarah prestasi syarikat dalam situasi ekonomi yang mencabar sebelum melaburkan wang anda dalam sahamnya.

Pasaran forex

Apabila kemelesetan ekonomi melanda sesebuah negara, kerajaannya biasanya akan cuba untuk mengurangkan kadar faedah bagi mengurangkan kesannya dan mempercepatkan pemulihan ekonomi. Walau bagaimanapun, tindakan ini akan melemahkan kekuatan matawang di pasaran Forex global, menjadikannya kurang menarik kepada pedagang dan pelabur. Disebabkan ini, perdagangan Forex juga tidak ’terselamat daripada kesan kemelesetan negatif.

Walau bagaimanapun, kemelesetan ekonomi jarang menjejaskan seluruh dunia pada satu-satu masa, jadi biasanya akan terdapat negara dengan ekonomi yang menunjukkan prestasi agak baik dalam keadaan ini. Ini mewujudkan banyak peluang kepada pedagang Forex untuk memanfaatkan perbezaan antara matawang yang kuat dan lemah.

Dunia Forex adalah tentang keseimbangan. Jika satu matawang menjunam, matawang lain akan menjadi lebih kuat. Jadi pedagang dan pelabur boleh menggunakan matawang berfaedah rendah yang lemah untuk membeli matawang berfaedah tinggi yang kukuh. Biasanya, sesetengah matawang dianggap sebagai matawang selamat yang boleh digunakan oleh pedagang untuk melindungi modal mereka. Matawang ini termasuk franc Swiss (CHF), dolar AS (USD), dan yen Jepun (JPY).

Namun, penting juga untuk pedagang berhati-hati sebelum melabur dalam matawang ini, kerana matawang ini boleh susut sebahagian daripada nilainya apabila ekonomi negara lain mula pulih daripada kemelesetan.

Komoditi

Untuk komoditi, nilainya bergantung sama ada kadar pengeluaran mereka telah terjejas oleh kemelesetan. Jika syarikat terpaksa memperlahankan pengeluaran kerana kekurangan permintaan dan kuasa beli pengguna yang rendah, harga komoditi yang dikeluarkan oleh syarikat juga jatuh. Nilai komoditi mudah rosak (contohnya, bijirin) juga merosot dengan lebih cepat kerana ia tidak boleh disimpan lama.

Pada masa yang sama, sesetengah komoditi masih boleh dikategorikan sebagai pelaburan selamat. Ini biasanya termasuk logam berharga seperti emas, perak, platinum, dsb., kerana ia boleh mengekalkan nilainya walaupun dalam pasaran bear. Khususnya, emas adalah komoditi yang paling dicari semasa kemelesetan kerana ia mempunyai sejarah yang panjang yang mana ia digunakan sebagai matawang dalam perdagangan, sebagai bahan untuk mencipta barang kemas dan seni, dan juga dalam bidang perubatan. Walaupun nilai komoditi ini tidak meningkat, ia masih terbukti sebagai alternatif yang lebih baik dan lebih stabil berbanding saham.

Bon

Bon kerajaan, terutamanya yang dikeluarkan di negara yang mempunyai ekonomi yang kukuh (seperti AS), dianggap sebagai pelaburan selamat, jadi nilainya cenderung meningkat semasa kemelesetan. Malah bank pusat juga membeli bon untuk merangsang pemulihan ekonomi. Sesetengah bon berprestasi lebih baik apabila kadar faedah rendah, dan yang lain akan mengalami peningkatan harga apabila kadar faedah meningkat, jadi penting untuk mengumpulkan data yang mencukupi bagi membuat keputusan termaklum.

Bagaimanakah cara meramalkan kemelesetan?

Malangnya, tiada cara yang 100% tepat untuk meramalkan kemelesetan yang akan berlaku. Walau bagaimanapun, beberapa indikator boleh memberi amaran kepada ahli ekonomi tentang potensi kemelesetan ekonomi yang akan tiba. Sebagai contoh, peningkatan kadar pengangguran boleh mendedahkan permulaan kemelesetan kerana lebih sedikit jumlah pekerjaan (terutamanya yang berkaitan dengan pengeluaran barangan) bermakna perbelanjaan dan permintaan pengguna semakin berkurangan.

Salah satu indikator yang paling ketara ialah keluk hasil terbalik (inverted yield curve).

Keluk hasil menunjukkan hubungan antara bon kerajaan jangka pendek dan jangka panjang. Hasil jangka panjang akan lebih tinggi apabila ekonomi berkembang dengan baik. Namun, jika keluk hasil terbalik, dengan hasil jangka panjang yang lebih rendah, ini boleh menandakan kurangnya kepercayaan dalam ekonomi, permulaan ketidakstabilan ekonomi, dan potensi kemelesetan dalam masa terdekat.

Perbezaan antara kemelesetan "recession" dan kemelesetan "depression"

“Recession” dan “depression” adalah istilah ekonomi yang sangat mirip, kedua-duanya diterjemahkan dalam bahasa Melayu sebagai kemelesetan, tetapi masih terdapat beberapa perbezaan antara kedua-duanya. Depression adalah lebih parah daripada kemelesetan, yang membawa kepada kesan yang lebih teruk. Depression juga berlangsung lebih lama berbanding recession, ia boleh bertahan selama sekurang-kurangnya beberapa bulan bahkan sehingga beberapa tahun.

Sebagai contoh, The Great Depression berlangsung selama lebih daripada empat tahun, bermula pada tahun 1929 dan berakhir pada tahun 1933. Ekonomi mengambil masa hampir sedekad untuk pulih semula. Sebagai perbandingan, The Great Recession pada akhir 2000-an berlarutan dari penghujung 2007 hingga pertengahan 2009, tempoh yang jauh lebih singkat.

Berapa lamakah kemelesetan berlarutan?

Kemelesetan boleh berlarutan dari beberapa minggu hingga beberapa tahun, bergantung kepada sejauh mana ekonomi terjejas dan sama ada pihak berkuasa berjaya mengambil langkah yang mencukupi untuk mengurangkan kesannya. Secara purata, kemelesetan ekonomi boleh berlangsung dari 11 hingga 17 bulan, dengan kemelesetan yang terpanjang dalam sejarah AS mengambil masa lebih daripada lima tahun untuk pulih. Namun, adalah mustahil untuk meramalkan bila kemelesetan ekonomi akan berakhir dengan tepat, jadi satu-satunya perkara yang perlu dilakukan ialah menunggu.

Contoh kemelesetan

Contoh yang terbaru dan utama ialah kemelesetan yang berlaku berikutan pandemik COVID-19. Ketika itu, ekonomi negara di seluruh dunia mengalami kejatuhan yang sangat tajam kerana banyak perniagaan terpaksa ditutup dan pengeluaran barangan dihentikan. Ini menyebabkan pasaran saham mengalami kejatuhan kerana banyak syarikat bankrap walaupun kerajaan mereka’ berusaha untuk meringankan beban kewangan mereka.

Undur

2023-07-19 • Dikemaskini

Soalan yang lazim ditanya

  • Bolehkah anda berdagang ketika kemelesetan?

    Ya, berdagang ketika kemelesetan boleh dilakukan. Tetapi adalah penting untuk pedagang berdagang di pasaran yang lebih rendah kemeruapannya atau, jika anda ingin berdagang saham, lakukan penyelidikan yang teliti tentang kedudukan kewangan syarikat yang ingin anda dagangkan.

  • Adakah ia selamat untuk melabur semasa kemelesetan?

    Melabur semasa kemelesetan boleh menguntungkan tetapi ia juga agak berisiko. Sukar untuk mengetahui bagaimana harga aset akan bergerak dalam pasaran yang meruap. Semasa melabur dalam saham, terdapat kemungkinan untuk syarikat yang dipilih untuk pelaburan itu bankrap.

  • Apakah strategi perdagangan terbaik semasa kemelesetan?

    Semasa kemelesetan, berdagang untuk jangka panjang dan melabur wang dalam aset selamat yang agak stabil, seperti emas, perak, matawang yang kukuh (CHF, USD, JPY) dan bon kerajaan adalah tindakan yang lebih bijak.

Deposit dengan sistem pembayaran tempatan anda

Notis pengumpulan data

FBS menyimpan rekod data anda untuk mengoperasikan laman web ini. Dengan menekan butang "Terima", anda menyetujui Polisi Privasi kami.

Callback

Pengurus akan menghubungi anda dalam amsa terdekat

Tukar nombor

Permohonan anda telah diterima

Pengurus akan menghubungi anda dalam amsa terdekat

Permohonan panggil balik seterusnya untuk nombor telefon ini
boleh dilakukan dalam dalam

Jika anda mempunyai isu yang perlu disegerakan, sila hubungi kami menerusi
Live Chat

Masalah dalaman. Sila cuba sebentar lagi

Jangan bazir masa anda – pantau bagaimana NFP mempengaruhi dolar AS dan kaut keuntungan!

Anda sedang menggunakan pelayar web yang versinya sudah lapuk.

Kemaskini kepada versi terkini atau cuba pelayar lain untuk penggunaan yang lebih selamat, selesa dan produktif.

Safari Chrome Firefox Opera